suria

Saya Tidak Berpakat Dengan TMJ - Annuar

KOTA BAHARU: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa pada Rabu menafikan wujudnya pakatan antara beliau dengan calon presiden Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pemilihan jawatan FAM minggu depan.

Annuar berkata perjumpaannya dengan TMJ adalah untuk mendengar perancangan baginda sahaja.

Tunku Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), dan timbalan presiden FAM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultah Ahmad Shah akan mencabar penyandang Presiden FAM Sultan Ahmad Shah bagi jawatan presiden pada kongres tahunan FAM ke-50 di Shah Alam, 25 Mei ini.

Annuar berkata adalah tidak benar dakwaan bahawa wujudnya pakatan antaranya dengan TMJ.

" Kita semua terima jemputan terbuka TMJ kerana ramai hendak tahu dengan jelas pendirian baginda," katanya.

Beliau turut berkata: "Pakatan dengan saya tidak mungkin, (kerana) saya tidak boleh bertanding dan saya tiada undi.

"Saya cuma hendak tahu pendirian Tuanku, dan komitmen baginda sebenarnya," katanya dalam laman Facebooknya.

Akhbar semalam melaporkan perjumpaan sulit di antara Tunku Ismail dengan Annuar telah diadakan di Johor Baharu.

Annuar, yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), memuji sikap Tunku Ismail yang terbuka dalam pengurusan bola sepak.

"Saya suka cara TMJ...bersahaja, terbuka dan direct, pemikiran yang jelas tentang bola dan komitmen yang tinggi dan ianya suatu yang baharu.

"Semoga suara persatuan bola sepak negeri dan gabungan didengari dan rintihan serta masalah kami lebih difahami.. demi Bola Sepak Malaysia," katanya. 


Kelantan, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain