suria

Cai Lin Terlepas Ke Komanwel, Sukan Asia Secara Merit

KUALA LUMPUR: Atlet renang kebangsaan Khoo Cai Lin kempunan untuk beraksi ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon secara merit selepas gagal melepasi had masa kelayakan bagi acara 800 meter gaya bebas wanita.

Meskipun Cai Lin, yang mewakili Selangor, meraih pingat emas pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-57 hari ini dengan catatan masa 8 minit 54.64 saat, namun masih tidak melepasi had masa kelayakan Sukan Komanwel iaitu 8:45.38s dan Sukan Asia 8:33.55s.

Pingat perak dimenangi oleh Nadia Adrianna Redza dari Selangor dengan catatan masa 9:09.41s manakala pingat gangsa menjadi milik Raina Saumi Grahan dari Indonesia dengan masa 9:12.51s.

"Saya memang kecewa kerana sasaran untuk melepasi kelayakan bagi acara 800m gaya bebas gagal, saya penat hari ini sebab semalam saya bersungguhan untuk melepasi kelayakan bagi acara 400 meter gaya bebas namun gagal juga.

"Saya masih menaruh harapan untuk beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia, sekiranya persatuan (Persatuan Renang Amatur Malaysia) memberikan peluang, saya akan berlatih bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Sukan Komanwel dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos manakala Sukan Asia dari 19 Sept hingga 4 Okt.

Setakat ini hanya Kevin Yeap, Daniel Bego, Welson Sim dan Lim Ching Hwang layak beraksi bagi acara 4x200m berganti-ganti gaya bebas di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.

Sementara itu, perenang kebangsaan Yap Siew Hui dari Selangor menempah slot acara 100m kuak kupu-kupuke Sukan Olimpik Remaja 2013 di Nanjing, China pada 16 hingga 28 Ogos ini.

Siew Hui meraih pingat emas dengan catatan masa terpantas 1:01.78s iaitu melepasi had kelayakkan masa kategori A, 1:02.62s.

Pingat perak dimenangi oleh Tang Jing E dari Singapura dengan catatan masa 1:02.23s manakala pingat gangsa diraih oleh Monalisa Arieswaty dari Indonesia dengan catatan masa 1:03.08s.

"Pencapaian hari ini ialah catatan masa peribadi terbaik bagi musim ini, saya juga sasarkan untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Remaja di Nanjing nanti," katanya.

Siew Hui turut meraih slot dalam acara 50m kuak kupu-kupu di Sukan Olimpik Remaja.

Beliau merupakan pemenang pingat perak bagi acara 50m kuak kupu-kupu dan 100m kuak kupu-kupu di Sukan Asia Remaja di Nanjing tahun lepas.


Komanwel, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain