suria

Sukma Perlis: Perahu Layar Johor Sasar 2 Emas

JOHOR BAHARU: Skuad perahu layar Johor yakin untuk menyumbang sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang bakal berlangsung di Perlis 24 Mei ini.

Presiden Persatuan Pelayaran Johor Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata sasaran itu disandarkan kepada Naquib Eiman Shahrin dalam kategori Optimist serta pasangan Nuraisyah Jamil/Nur Laila Azni Arjuna dalam International 420.

"Sasaran ini dibuat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet-atlet perahu layar Johor dalam kejohanan yang disertai di peringkat kebangsaan serta persiapan yang dibuat oleh pasukan," kata beliau dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata dalam tiga kejohanan di peringkat kebangsaan tahun ini, skuad perahu layar Johor meraih lima pingat emas melalui kategori Optimist dan International 420.

Beliau berkata pada Sukma kali ini, 17 atlet bakal dihantar bagi acara perahu layar dalam tujuh kategori yang menawarkan 13 pingat emas.

Tujuh kategori yang dipertandingkan ialah Optimist (lelaki/wanita), Optimist Berpasukan, Laser Radial (lelaki/wanita), International 420 (lelaki/wanita), Laser Standard (lelaki), Laser 4.7 (lelaki/wanita) dan Bic-Techno.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata sebagai persediaan akhir, skuad perahu layar Johor akan menyertai Kejohanan Perahu Layar KFC-Terbuka Perlis pada 14 Mei hingga 19 Mei ini, dan akan diteruskan dengan latihan intensif pada 20 Mei hingga 23 Mei di Tasik Timah Tasoh, Perlis.

Ini bagi memastikan pasukannya dapat membiasakan diri dengan keadaan cuaca, air dan angin di kawasan acara Sukma itu diadakan, kata beliau.

Sukma, Perlis, Perahu Layar, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain