suria

FAM Perlu Tegas Terhadap Penyokong - KBS

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak lebih tegas bagi mengawal penyokong, menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (JDT) 30 Mei ini.

"Saya telah hubungi Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dua hari lepas dan minta FAM ambil tindakan drastik dan tegas sebab dah terlalu banyak insiden melibatkan penyokong yang tidak dapat dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang 2014 Yayasan Pendidikan Titiwangsa kepada 324 pelajar, di sini Khamis.

Mengulas cadangan FAM tidak membenarkan penyokong JDT hadir di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan separuh akhir kedua itu, katanya Persatuan Bola Sepak Pahang masih mengkaji saranan itu.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Isnin lepas, situasi tegang berlaku apabila penyokong JDT mencetuskan provokasi terhadap penyokong Pahang sejurus tamat perlawanan.

Kira-kira 1,000 penyokong tuan rumah berkumpul di perkarangan stadium sejak pukul 11 malam dan enggan bersurai lebih sejam kemudian walaupun diarah pihak polis.

Perkara itu menyebabkan pemain dan penyokong pasukan pelawat tidak dibenar keluar dari stadium oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
Pada perlawanan itu, JDT seri 1-1 dengan Pahang.

Difahamkan, tindakan segelintir penyokong JDT itu berpunca daripada rasa tidak puas hati ekoran insiden selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Feb lepas.


FAM, JDT, Pahang

Artikel Berikut

Artikel Lain