suria

Makaf Sasar Emas Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menyasar skuad negara membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan September ini.

Setiausaha Agung Makaf Vincent Chen Chee Hong yakin sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan kedudukan atlet karate negara dalam ranking dunia ketika ini selain kejayaan cemerlang dalam beberapa edisi Sukan Asia yang lepas.

Katanya skuad negara baharu sahaja kembali daripada menyertai Kejohanan Karate Piala Dunia 1 di Lasko, Slovenia Mac lepas yang menyaksikan mereka meraih satu emas, tiga perak, satu gangsa.

"Kita bakal menghantar lapan atlet termasuk seorang atlet lelaki pada Sukan Asia nanti, namun kita tidak meletakkan sandaran pingat emas bakal diraih sama ada menerusi acara Kumite ataupun Kata.

"Tujuan kita menghantar lebih ramai atlet wanita adalah bagi memastikan mereka mendapat pendedahan terbaik terutamanya beberapa atlet junior yang baharu diserapkan ke dalam skuad elit negara," katanya pada Khamis.

Chen mengakui selain Jepun yang merupakan kuasa utama karate Asia, beberapa negara lain dijangka memberikan saingan kepada skuad negara di Incheon nanti iaitu Iran, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Kazakhstan dan Azerbaijan.

Beliau berkata skuad negara akan menyertai dua kejohanan pemanas badan sebelum ke Sukan Asia iaitu Kejohanan Karate Terbuka China pada pertengahan bulan ini selain edisi ke-12 Kejohanan Karate Persekutuan Karate Eropah di Izmir, Tukri dari 7-8 Jun.

Chen menegaskan tiada sasaran pingat diletakkan kepada skuad negara pada dua kejohanan berkenaan, sebaliknya menjadi medan bagi menilai kekuatan negara pesaing yang bakal bertanding pada Sukan Asia nanti.

"Menerusi penyertaan pada dua kejohanan berkenaan, kita dapat mengukur sejauh mana kekuatan yang ada pada pesaing kita selain memudahkan jurulatih negara merencana strategi berkesan di Incheon nanti," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad karate negara pada Sukan Asia ialah meraih dua pingat emas pada edisi 1998 di Bangkok, Thailand; pada 2002 di Busan, Korea Selatan dan 2010 di Guangzhou, China.

Makaf, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Artikel Lain