suria

Tumpuan Skuad Hoki Negara Kepada Cabaran Suku Akhir Rabu Ini - Jurulatih

Muhammad Dharma Raj Abdullah. Foto BERNAMA

KUANTAN: Kegagalan skuad hoki negara mencipta kemenangan pada aksi pembuka tirai Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 pada Sabtu tidak bermakna peluang ke final telah tertutup, luah pengendali skuad hoki negara Muhammad Dharma Raj Abdullah.
.

Beliau berkata, mengikut format perlawanan peringkat kumpulan, semua pasukan layak ke suku akhir namun keputusan perlawanan yang menentukan jadual perlawanan pada Rabu ini.

"Seboleh-bolehnya kita ingin mengelak berjumpa dengan New Zealand yang mendahului kumpulan A setakat hari ini,  namun kita tidak tahu perancangan pasukan lain yang mempunyai strategi tersendiri bagi mendapat laluan mudah di peringkat suku akhir nanti," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Pada Sabtu, pasukan hoki negara gagal meraih kemenangan pertama selepas tewas 2-3 kepada Perancis pada aksi pembuka  tirai menyebabkan Malaysia berada di kedudukan tercorot kumpulan B.

Tiga pasukan lain turut bersaing dalam kumpulan B ialah pendahulu kumpulan iaitu Perancis diikuti Kanada dan Korea Selatan.

"Sekiranya kita raih kemenangan 10-0 ke atas Perancis semalam dan 10-0 bertemu Korea Selatan hari ini dan begitu juga pada perlawanan berikutnya pada peringkat kumpulan, ia masih belum memberi jaminan bahawa kita layak ke final.

"Apa yang lebih penting adalah kemenangan pada perlawanan peringkat suku akhir nanti namun kita beraksi untuk  menang dan bukan untuk kalah jadi kita akan berusaha untuk menang pada perlawanan berikutnya," katanya.

Beliau berkata, kemenangan pada perlawanan menentang Korea Selatan malam Ahad dan cabaran saingan penutup peringkat kumpulan bertemu Kanada juga penting walaupun semua pasukan layak ke cabaran suku akhir.

Rekod kejayaan terbaik skuad negara pada  kejohanan dwitahunan ini adalah menduduki tempat keempat pada edisi di Quilmes, Argentina pada 2012.

Artikel Berikut

Artikel Lain