suria

Diego Simeone Pengurus Muda Paling 'Panas' Di Eropah Sekarang Tapi Dia Mungkin Tidak Sesuai Untuk Man United

Diego Simeone

SESIAPA sahaja yang bertandang ke Stadium Vicente Calderon, untuk menyaksikan Atletico Madrid bertarung dengan Chelsea pada malam Selasa lalu dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah akan terpegun melihat pasukan tuan rumah bermain.

Mereka bertarung dengan penuh semangat, enggan mengalah tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda kepenatan dan pada masa yang sama amat sukar untuk ditumpaskan.

Ini adalah pasukan bimbingan pengurus muda dari Argentina bernama Diego Simeone yang kini merupakan pengurus paling dikehenali di benua Eropah.

Maka tidak hairanlah kelab-kelab elit dunia seperti Manchester United dan Monaco mahukan sedikit daripada magik Atletico musim ini.

Sentuhan magik yang ditunjukkan Simeone menjadikan para pemainnya percaya yang mereka boleh bersaing dengan elit-elit Eropah dan juga domestik.

Sejak mengambil alih pengurusan kelab itu pada 2011, dia telah melakukan tranformasi yang agak luar biasa daripada sebuah kelab di bawah paras cemerlang kepada semua kelab yang sangat digeruni kini.

Salah satu rahsia Simeone ialah mencipta kesetiaan dan kepercayaan. Staf kejurulatihannya seperti Oscar Ortega dan German Burgos setiap pagi diberi mandat dan kepercayaan untuk memastikan setiap pemain tiba tepat pada masa yang ditetapkan dan memanaskan badan sebelum ketibaan Simeone.

Simeone juga menuntut komitmen yang tak berbelah bahagi daripada skuadnya. Dia tidak menuntut pengorbanan tanpa dirinya sendiri terlebih dahulu berkorban untuk kelab dan pasukan.

Apabila dia menerima tawaran Atletico, Simeone membuat keputusan meninggalkan keluarganya di Argentina. Malah seluruh keluarganya turut memberikan komitmen dan pengorbanan mereka kepada Simeone.

Sebelum perlawanan menentang Chelsea, anak sulungnya yang kini bermain untuk skuad remaja River Plate telah menghantar rakaman video di hadapan rumah mereka sambil mengibarkan bendera Atletico.

Bebas daripada sebarang gangguan dan tekanan, Simeone menumpukan sepenuh perhatian kepada urusan bolasepaknya dan dia mahukan pemain-pemainnya memberikan komitmen yang sama kepada pasukan mereka.

Sama ada tuntutan seperti ini mampu berjaya dengan berkesan di Liga Perdana Inggeris (EPL) masih belum tentu lagi apatah pula kebanyakan bintang EPL terlalu dimanjakan.

Bayangkan jurulatih yang telah terbukti berjaya di benua Eropah seperti Andre Villas-Boas dan Gerard Houllier, gagal mengulangi kecemerlangan mereka bersama kelab-kelab Inggeris.

Selepas mencapai satu lagi kemenangan liga minggu lalu ke atas Elche, yang mana Atletico semakin hampir untuk merangkul kejuaraan liga mereka yang pertama sejak 1996, Simeone menegaskan kepada pemain-pemainnya yang baki empat perlawanan mereka musim ini sama seperti perlawanan akhir mana-mana kejuaraan.

Mereka mesti bermain untuk menang. Tiada pilihan lain yang diberinya.










Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain