suria

Sukma: Skuad Takraw T'ganu Sasar Dua Emas

KUALA TERENGGANU: Skuad sepak takraw Terengganu meletakkan sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis bermula 24 Mei depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata sasaran berkenaan disandarkan kepada acara antara regu dan acara berpasukan.

"Insya-Allah sasaran itu akan tercapai memandangkan perkembangan terkini pasukan Terengganu sejak kebelakangan ini agak konsisten apabila menjadi juara Kejohanan Sepak Takraw Belia yang berlangsung di Perlis bulan lepas," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Pihak pengurusan PSTNT telah selesai menyenaraikan 15 pemain untuk menggalas cabaran kontinjen Terengganu dalam sukan itu.

Sukma ke-17 di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun melibatkan 24 jenis sukan yang dipertandingkan. Majlis pembukaan rasmi akan diadakan pada 26 Mei manakala majlis penutupan pada 4 Jun.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shapian berkata buat julung kalinya PSTNT akan menganjurkan kejohanan Liga Sepak Takraw daerah-daerah Terengganu mulai Ogos ini.

Menurutnya PSTNT telah lama mempunyai cadangan sedemikian dalam usaha menghimpun, mengembang dan mencungkil bakat di peringkat akar umbi namun tidak kesampaian kerana mempunyai beberapa kekangan sebelum ini.

Lapan daerah termasuk kawasan Kuala Nerus yang bakal dijadikan daerah baharu tidak lama lagi akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang dijangka tamat sekitar Oktober.

Tujuh daerah lain Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Beliau berkata kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai lebih RM10,000 dan antara syarat kejohanan setiap pasukan diwajibkan menghantar satu pasukan berumur 21 tahun ke bawah.

Terengganu, Sukma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain