suria

Muslifah Sertai Dua Kejohanan Sebelum Komanwel

KUALA LUMPUR: Dua kejohanan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) pada Jun ini bakal menjadi medan pemanas badan untuk penembak wanita elit kebangsaan, Muslifah Zulkifli sebelum beraksi di temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Julai ini.

Dua kejohanan itu adalah Siri Kejohanan Piala Dunia ISSF di Munich, Jerman (4-13 Jun) dan Maribor, Slovakia (13-21 Jun).

"Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada dua kejohanan ini namun berharap dapat kekalkan corak persembahan saya di sana. Memenangi pingat sebarang warna sudah cukup baik untuk saya," katanya pada Rabu.

Selain kejohanan antarabangsa, Muslifah juga akan menyertai dua kejohanan tempatan iaitu Kejohanan Trofi Tun Hanif 2014 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang hujung minggu ini serta Kejohanan Piala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dari 7 hingga 10 Mei ini di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Mengenai peluang pada Sukan Komanwel nanti, Muslifah, yang masih bergelut dengan kecederaan belakang ketika ini, berkata beliau hanya menyasarkan satu pingat daripada tiga acara yang disertainya.

Beliau akan mengambil bahagian dalam acara 10m Raifal Angin, 50m Raifal Prone dan 50m Raifal Tiga Posisi.

"Saingan pada Sukan Komanwel tahun ini agak mencabar memandangkan penganjur hanya mempertandingkan acara individu walaupun peluang skuad menembak kita lebih terarah dalam acara berpasukan," katanya.

Untuk rekod, Muslifah pernah menyertai tiga edisi Sukan Komanwel sebelum ini dan pencapaian terbaik beliau ialah di tempat kelima bersama Haslisa Hamid dan Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 50m Raifal Prone berpasukan di Sukan Komanwel New Delhi, empat tahun lepas.

Beliau juga adalah pemenang pingat gangsa dalam acara 10m Raifal Angin pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.


Komanwel, Menembak

Artikel Lain