suria

Piala Suhadinata: Malaysia Gagal Ke Separuh Akhir

Selvaduray Kisona (dua, kanan) terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan ketika bertemu dengan lawan dari China, He Bingjiao. - fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Malaysia gagal ke peringkat separuh akhir apabila tewas kepada musuh tradisi China 3-1 pada perlawanan suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja 2014 (Piala Suhadinata) di Stadium Sultan Abdul Halim di sini Rabu.

Lebih malang, pemain perseorangan wanita S.Kisona yang diharapkan dapat menyamakan kedudukan, terpaksa menarik diri pada set pertama setelah mengalami kecederaan.

Pertemuan antara Kisona dengan He Bingjiao pada perlawanan keempat ditamatkan pada kedudukan 12-16 dalam set pertama selepas pemain negara itu terjatuh dan mengalami kesakitan di bahagian lutut kanan.

"Kami mendapatkan suntikan semangat dengan meraih mata pertama. Sekiranya Kisona tidak cedera, mungkin keadaan bertukar sama sekali dengan menyamakan kedudukan.

"Kami akan mendapatkan pengesahan dari hospital mengenai kecederaan Kisona. Kami harap ia bukan kecederaan ligamen," kata ketua jurulatih skuad remaja Zhou Kejian ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Zhou tetap melahirkan rasa puas hati dengan barisan pemain yang diturunkan hari ini terutama pemain perseorangan lelaki Cheam June Wei yang berjaya mengutip mata penyamaan selepas menewaskan lawannya Lin Guipu dalam perlawanan berlarutan ke 'rubber set' 23-21, 14-21, 21-23.

"Kami bukan pasukan yang kuat berbanding China. Pertemuan itu memberi pengajaran berguna untuk pemain membina keyakinan pada perlawanan penentuan kedudukan pasukan, katanya.

Pada perlawanan hari ini (Rabu), pasangan beregu campuran Tan Jinn Hwa/Goh Yea Ching tewas kepada Huang Kaixiang/Chen Qingchen 21-8, 21-17 dalam perlawanan pembukaan, bagaimanapun Cheam berjaya meyamakan kedudukan apabila menang perlawanan kedua.

China kemudiannya kembali menguasai kedudukan apabila pasangan beregu lelaki Huang Kaixiang/Zheng Siwei mengalahkan pasangan negara Tan Jinn Hwa/Goh Sze Fei 21-8, 21-12.
Malaysia bakal berdepan pasukan Taiwan untuk penentuan tempat kelima hingga lapan terbaik manakala China akan berdepan Jepun pada saingan separuh akhir.

Sebelum itu, Jepun mengesahkan slot separuh akhir dengan menyingkirkan Taiwan 3-2.

Dalam pada itu, Thailand melakukan kejutan besar dalam kejohanan itu apabila menyingkirkan juara bertahan Korea Selatan 3-0.

Thailand akan berdepan dengan Indonesia dalam saingan separuh akhir. Indonesia melangkah ke separuh akhir dengan mengalahkan Hong Kong 3-0.

Artikel Lain