suria

120 Pemain Sertai Golf Remaja Amatur Terbuka Ambank

Syed Anuar Syed Ali (kanan).
KUALA LUMPUR: Lebih 120 pemain bawah 18 tahun tahun dari enam negara akan bersaing dalam Kejohanan Golf Terbuka Remaja Amatur Ambank 2014 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini dari 22 hingga 24 April ini.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank Syed Anuar Syed Ali berkata negara yang telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu ialah Australia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan tuan rumah Malaysia.

"Kejohanan ini merupakan platform yang amat baik bagi pemain muda, yang bercita-cita tinggi dan bersemangat waja untuk mengukir nama dalam arena golf remaja," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan kejohanan itu.

Syed Anuar berkata empat kategori akan dipertadningkan iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan serta bawah 18 dan 15 tahun, manakala jumlah peserta mungkin melebihi sasaran awal sebelum kejohanan ini dimulakan.

Sementara itu, Nicholas Tay, 11, yang akan muncul bagi kali kedua dalam kejohanan itu, berharap mencatat kedudukan membanggakan dalam kejohanan edisi ketiga ini setelah gagal meraih kejayaan tahun lepas.

"Ini kali kedua saya menyertai kejohanan ini. Tahun lepas, saya terkandas di pusingan pertama dan kali ini berharap nasib akan menyebelahi saya," katanya, yang mula bermain golf ketika berusia enam tahun.

Artikel Lain