suria

T-Team Dan Selangor Terikat Seri 1-1 Aksi Tunggal Liga Super

Pemain T-Team, Muhd Syuhiran (kanan) cuba menghalang pergerakan pemain Selangor, Andik Vermansah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam Selsa. Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Wakil kelab Terengganu, T-Team dan Selangor berkongsi satu mata selepas seri 1-1 pada aksi tunggal Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam Selasa.

Keputusan itu membolehkan pasukan Selangor naik satu anak tangga ke kedudukan kedua liga dengan 21 mata, satu mata di belakang pendahulu, Pahang manakala T-Team kekal di tangga ke-10 dengan 13 mata.

Pada perlawanan berkenaan, Selangor jelas menguasai permainan pada babak pertama dengan banyak melakukan serangan ke kubu skuad 'The Titans' sebaik sahaja pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa meniupkan wisel perlawanan.

Mereka berjaya berada di hadapan pada minit ke-15 menerusi penyerang, A. Thamil Arasu yang menanduk masuk sepakan penjuru daripada Mohd Azmi Muslim untuk menceriakan segelintir penyokong mereka yang hadir ke stadium.

Bersambung babak kedua, pasukan T-Team kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah mengubah corak permainan dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu Selangor untuk mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berhasil selepas penyerang import dari Indonesia, Patrich Wanggai melakukan tandukan kencang hasil sepakan percuma daripada Nelson Sam Martin pada minit ke-80 bagi menyamakan kedudukan.

Mereka bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wanggai dilayangkan kad merah oleh Mohd Fairuzi pada masa kecederaan separuh masa kedua
selepas beliau dikatakan menumbuk kepala Arasu. 

Keputusan itu kekal sehingga tiupan wisel perlawanan oleh Mohd Fairuzi untuk membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Perlawanan berkenaan yang sepatutnya diadakan Selasa depan, diadakan pada Selasa berikutan Selangor akan beraksi dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Arema Indonesia pada 16 April ini di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia.

T-Team akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan menentang Pahang manakala Selangor akan melayan kunjungan Perak di Stadium Shah Alam dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung, Sabtu ini.

T-Team, Selangor, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain