suria

Pasangan Beregu Wanita Remaja Jadi Penyelamat

Aksi pemain beregu campuran remaja negara, Goh Yea Ching (kiri) dan Tan Jinn Hwa (kanan) ketika bertemu dengan lawan dari India Garg Kuhoo dan Sen Chirag pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Selasa. Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Pasangan beregu wanita remaja Goh Yea Ching/Peck Yen Wei muncul penyelamat selepas mengutip mata ketiga, menewaskan India 3-2 pada perlawanan kumpulan Z 2 Kejohanan Badminton Berpasukan Remaja Dunia 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Selasa.

Pasangan beregu itu menundukkan pasangan India Reshma Kartik/Vaishnavi Iyer 21-18, 21-11 pada perlawanan penentuan selepas berjaya mengikat Malaysia 2-2, apabila pemain perseorangan wanita dan beregu lelaki negara tewas pada perlawanan terdahulu.

Mata pertama pasukan negara diperoleh menerusi pasangan beregu campuran Tan Jinn Hwa/Goh Yea Ching yang mengalahkan Sen Chirag/Garg Kuhoo 21-16, 21-16 manakala mata kedua diperoleh menerusi perseorangan lelaki Cheam June Wei yang menewaskan Dani Harsheel 21-19 16-21 21-15.

"Saya rasa ketika bermain beregu campuran ada sedikit tekanan dan ada sedikit rasa gementar untuk bermain kerana perlawanan pertama. Tapi saya berasa yakin selepas menang dan telah berikan yang terbaik ketika perlawanan beregu wanita tadi," kata Goh kepada pemberita selepas perlawanan tamat.

Pasangan beregu campuran Goh dan Tan Jinn Hwa berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan ketika mengutip mata pertama pasukan negara.

"Saya puas hati sebab saya telah buat terbaik untuk motivasi kawan-kawan lain bermain untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Tan berkata, beliau harus lebih yakin untuk bertemu dengan pasukan China bagi menebus kekalahan ketika pertemuan di Kejohanan Remaja Asia sebelum ini.

Sementara itu, jurulatih perseorangan wanita Rony Agustinus mengakui anak buahnya Ho Yen Mei sedikit tertekan dan gementar dengan perlawanan pada Selasa.

"Saya akui bahawa Ho agak tertekan kerana kita meletakkan sasaran perlu menang dengan India untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik. Ini mungkin menyebabkan aksinya kurang baik dan gementar," katanya. Ho tewas kepada Ruthvika Shivani Gadde 11-21, 12-21 manakala beregu lelaki Chua Khek Wei/Ooi Zi Heng tewas kepada M.R Arjun/Shetty Chirag 21-17, 16-21, 10-21.

Malaysia berkemungkinan besar berdepan China pada perlawanan suku akhir pada Rabu. 

Pada ketika ini, China berdepan Vietnam dan mendahului 3-0 pada perlawanan kumpulan Z 1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain