suria

Terbuka Singapura: Arif Atur Langkah Cemerlang

Arif menang dua perlawanan pada aksi kelayakann Terbuka Singapura.

PETALING JAYA: Bekas pemain badminton kebangsaan, Mohd Arif Abdul Latif layak ke pusingan utama Terbuka Singapura.

Pemain berusia 24 tahun itu yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Julai lalu, menewaskan pemain Indonesia Siswanto 21-16 21-11 sebelum mencatat kemenangan ke atas pemain tempatan, Ashton Chen 21-18,21-8 dalam pusingan kelayakan pada Selasa.

Ia merupakan aksi cemerlang pemain kelahiran Negeri Sembilan ini yang kini berada di ranking ke-89 dunia selepas menjulang trofi pertama dalam kariernya November lalu pada aksi Cabaran Antarabangsa Malaysia.

Arif kini di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia, Nova Armada di Akademi Badminton One akan bertemu pemain India, B.Sai Praneeth pada pusingan pertama nanti.

"Saya teruja dengan kemenangan ini sekaligus mara ke senarai undian utama. Ini adalah jalan untuk saya mengubah kedudukan ranking.

"Saya juga gembira dengan kelab dan jurulatih baharu yang banyak memberi sokongan dan memberi keyakinan kepada saya. Harapnya saya akan menang pada perlawanan utama (Rabu)," jelas pemain yang pernah pernah berada di ranking ke-30 tahun lalu.

Dalam pada itu, dalam aksin perseorangan lelaki menyaksikan penarikan diri beberapa pemain terkemuka seperti Kenichi Sugiaro (Jepun), Tommu Sugiarto (Indonesia), juara bertahan Sony Dwi kuncoro (Thailand) dan R.M.N Gurusaidutt (India).

Penarikan diri pemain-pemain tersebut sekaligus menyaksikan kelebihan kepada pemain bebas Tan Chun Seang dan Misbun Ramdan Misbun yang tidak perlu berpeluh untuk mara ke pusingan utama.

Chun Seang akan berdepan dengan pemain China, Chen Yuekun pada pusingan pertama manakala Ramdan menentang pemain Hong kong Hu Yun.

Ini juga bermakna, pemain no.1 dunia, Lee Chong Wei yang mengintai gelaran keempat kejohanan ini dilihat lebih mudah menuju ke pentas akhir.

Sebelum itu, Chong Wei perlu berdepan dengan pemain muda Jepun, Kento Momoto yang dijangka pada aksi separuh akhir.Manakala pada aksi wanita perseorangan, pemain ke-97 dunia Yang Li Lian turut mara ke pusingan utama.

Li Lian,21, yang turut dipanggil ke skuad Piala Uber menewaskan pemain Sweden Matilda 21-16,21-14 dan akan bertemu jaguh wanita China (no,2 dunia), Wang Yihan pada aksi pusingan pertama nanti.

Artikel Lain