suria

Khairy Puji Sokongan Kedutaan Amerika Syarikat Mengenai Kempen Piala Dunia SOM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memuji sokongan padu yang ditunjukkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dalam mempromosikan Piala Dunia Bola Sepak Olimpik Istimewa (SOM) yang bakal berlangsung di sini, awal November ini.

Katanya, sokongan yang ditunjukkan oleh komuniti perniagaan Amerika Syarikat di Malaysia diharap dapat memastikan kejohanan berkenaan yang bakal berlangsung di lima bandar berbeza di negara ini, diterima di peringkat global. 

"Piala Dunia Bola Sepak Olimpik Istimewa menggerakkan warga istimewa untuk menggiatkan diri dalam sukan. Mereka adalah atlet Olimpik Istimewa dengan skil dan bakat tersendiri. 

"Terdapat banyak yang boleh dipelajari masyarakat daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Olimpik Istimewa Malaysia (SOM). 

Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y. Yun menganjurkan majlis tertutup di kediamannya, di sini dengan menyeru komuniti perniagaan Amerika Syarika di Malaysia untuk menjayakan kempen kejohanan berkenaan. 

Khairy merupakan antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan yang turut disertai Presiden Olimpik Istimewa Malaysia (SOM), Datuk Muhammad Feisol Hassan, Naib Presiden SOM, Datuk Dr Peter Velappan dan pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David. 

Sejumlah 25 negara bakal bersaing dalam kejohanan pada tahun ini iaitu Ivory Coast, Afrika Selatan, Tanzania, Bangladesh, Thailand, China, Korea Selatan, Perancis, Poland, Romania, Russia, Serbia, Slovakia, Arab Saudi, Brazil, Ecuador, Paraguay, Peru, Uruguay, Costa Rica, Honduras, Jamaica, Libya, Amerika Syarikat dan Malaysia selaku hos.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain