suria

PDRM Kukuhkan Cengkaman Liga Perdana

Pemain Felda United FC, Indra Putra Mahayuddin (kanan) diasak pemain Kedah, Khairul Helmi Johari pada Perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Isnin malam. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan cengkaman di persada Liga Perdana selepas menundukkan UiTM FC dengan kemenangan 2-0 di Stadium UiTM, dekat sini pada Isnin.

Jaringan Charles Chad Souza pada minit ke-68 dan pemain gantian, Mohamadou Sumareh (89') membolehkan skuad 'Sang Saka Biru' kendalian Dollah Salleh mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dan mengumpul 29 mata.

Dollah yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan, bagaimanapun mengingatkan skuad kendaliannya supaya tidak mudah leka walaupun masih belum kalah dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

Katanya, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh para pemain dalam memburu slot beraksi dalam kancah Liga Super pada 2015.

"Hari ini pemain kelihatan agak kepenatan kerana keadaan padang yang kurang memuaskan...ini menyebabkan para pemain tidak dapat menterjemahkan apa yang diterapkan dalam sesi latihan pada perlawanan hari ini yang jelas serba tidak menjadi.

"Alhamdulillah, para pemain bangkit pada separuh masa kedua namun masih jauh daripada tahap prestasi mereka yang sebenar. Saya tidak risau dengan kegagalan (penjaring terbanyak kita), Ashfaq Ali dalam menjaringkan gol pada hari ini kerana beliau turut mencipta peluang jaringan kepada pemain lain," kata Dollah.

Dalam pada itu, Felda United FC meneruskan momentum kemenangan selepas mengalahkan Kedah 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menerusi sentuhan penyudah penyerang import dari Liberia, Edward Junior Wilson pada minit ke-59.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad 'The Settlers' kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang masih kekal berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 22 mata selepas 11 perlawanan.

Dua perlawanan berkenaan sebelum ini ditunda berikutan pasukan Felda United FC dan Kedah beraksi dalam peringkat suku akhir Piala FA, Februari lepas namun kedua-duanya tersingkir selepas kalah kepada lawan masing-masing.

Liga Perdana, PDRM, Felda United FC

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Sepanyol

Artikel Berikut

Artikel Lain