suria

Chris Hughton Dipecat Sebagai Pengurus Norwich City

Chris Hughton kini menjadi mangsa terbaru pengurus yang dipecat dalam Liga Perdana Inggeris.

PENGURUS Norwich City, Chris Hughton menjadi mangsa pemecatan terbaru Liga Perdana Inggeris selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion Sabtu lalu.

Kelab itu kini berada di tangga ke-17 liga dan diambang tersingkir ke liga bawah dengan baki perlawanan hanya tinggal lima sahaja lagi dan berhadapan dengan kelab-kelab gergasi iaitu Fulham, Liverpool, Man Utd, Chelsea dan Arsenal.

Sebagai langkah interim, bekas pengurus Bawah-18 kelab itu, Neil Adams, 48, telah dilantik pengurus interim sehingga kelab dapat mencari penganti Hughton.

Turut dipecat ialah Penolong Pengurus, Colin Calderwood dan jurulatih, Paul Trollope.

Kini Norwich bergantung harap ke atas Adam yang tidak mempunyai pengalaman mengurus sebuah kelab untuk mengekalkan mereka di liga perdana.

Ketua Pegawai Eksekutif Norwich, David McNally dipetik sebagai berkata: "Neil adalah seorang jurulatih yang progresif dan pernah bermain untuk kelab ini sebanyak lebih 200 kali dan kita berharap beliau akan dapat mengemudi kelab ini mengharungi lima lagi baki perlawanan untuk terus kekal di liga ini musim depan."

Hughton, 55, pernah mengurus Newcastle dan Birmingham City sebelum ini.

Di bawah bimbingannya, Norwich menduduki tangga ke-11 liga musim lalu.

Tetapi tewas dalam empat dari enam perlawanan terakhir musim ini dan hanya mampu menjaringkan 26 gol setakat ini sudah memadai untuk anggota lembaga kelab bertindak.

Selepas mereka tumpas kepada WBA, sebahagian besar penyokong kelab itu menjerit agar Hughton dipecat.

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A

Artikel Berikut

Keputusan La Liga

Artikel Lain