suria

F1 Malaysia: Kejayaan Penuh Makna Di Litar Sepang - Hamilton

Hamilton rangkul gelaran juara pertama di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad.

SEPANG: Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton berjaya mencatat kejayaan pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas lapan kali beraksi pada  Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia.

Malah Hamilton, 29, turut mencatat hatrik pada aksi di Malaysia tahun ini  dengan meraih petak  pertama pada aksi kelayakan, masa lap terbaik  serta gelaran juara.

"Sukar dipercayai, sukar dipercayai. Selepas mengharungi situasi sukar sepanjang minggu, saya gembira dan teruja dengan sokongan di sini.

"Saya berasa bertuah dengan kerja keras  Petronas  bersama Mercedes sehingga membawa kejayaan kepada kami.

"Kejayaan ini juga saya dedikasi kepada keluarga mangsa tragedi (MH370) yang berlaku tiga minggu lalu," jelasnya selepas perlumbaan.

Pelumba dari Britain itu  mendahului kedudukan pertama sejak awal permulaan selepas dibantu rakan sepasukannya, Nico Rosberg yang meraih tempat kedua berjaya menyekat  pelumba Red Bull, Sebastian Vettel daripada memintas Hamilton.

Lebih menarik, kedua-dua pelumba Mercedes ini mendominasi litar bukan sahaja pada aksi perlumbaan ini tetapi turut menguasai kedudukan kelompok ketiga terbaik sepanjang sesi latihan dan juga saingan kelayakan pada Jumaat dan Sabtu.

Selain mencatat rekod terbaik di Malaysia pada edisi ke-16 ini, ini  juga merupakan kejayaan yang ke-23 sepanjang  kariernya.

"Semuanya kerana Petronas yang bertungkus lumus menyediakan bahan api  yang terbaik, dan kejayaan ini berlaku di laman sendiri.  Lebih manis, kami berada kedudukan pertama dan kedua.

"Situasi seperti ini tidak banyak berlaku dalam karier saya dan sebab itulah kejayaan hari ini sangat  istimewa. Saya amat menghargai apa yang telah dilakukan dan...ya ia sangat memuaskan," jelas bekas juara dunia 2008 ini.

Sementara itu, Rosberg menguasai kedudukan keseluruhan pemandu setakat ini selepas dua kali menaiki podium.

"Saya memulakan perlumbaan awal dengan baik, jadi ia begitu bermakna kerana saingan tahun ini bukan mudah. 

"Pun begitu, belum terlintas lagi di fikiran saya untuk merebut gelaran dunia setakat ini. Saya hanya mahu menumpukan satu demi satu perlumbaan, menikmati kejayaan yang dikecapi dan dalam masa sama teruskan saingan  serta  beri tekanan kepada pasukan lain.

"Dan semua penduduk  Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan Petronas ini," jelasnya.

Hamilton dan Rosberg bakal meneruskan kejayaan mereka di Grand Prix Bahrain bagi pusingan ketiga F1  pada 4-6 April ini .

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain