suria

Piala Sultan Azlan Shah: Australia Rangkul Juara Kali Ke-8

Pemain-pemain Australia meraikan kejayaan menewaskan skuad Malaysia pada aksi akhir Piala Sultan Azlan Shah, Ahad.

IPOH: Australia mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan kali kelapan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 selepas membenam Malaysia 8-3 pada perlawanan akhir di sini, Ahad malam.


Juara dunia itu meleburkan impian pasukan negara serta ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Azlan Shah di sini untuk melihat anak didik Muhammad
Dharmaraj Abdullah merangkul kejuaraan kali pertama sejak 1983.

Australia, yang kini dalam misi mempertahankan Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei ini, berada dalam kelas tersendiri apabila gerakan pantas mereka menggerunkan anak buah Dharmaraj.

Laungan sokongan oleh ribuan penyokong di samping paluan gendang pembakar semangat untuk pasukan negara ternyata tidak menggugat tumpuan Australia untuk mendahului 3-1 pada separuh masa.

Impian Malaysia untuk membalas dendam selepas kalah 3-2 pada final edisi lepas ternyata meleset apabila strategi dan pendekatan skuad kebangsaan tidak
mengancam sama sekali pasukan lawan.

Selepas ketua jurulatih kelahiran Afrika Selatan, Paul Revington melepaskan jawatan Januari lepas, prestasi pasukan negara seolah-olah hilang pedoman dan gagal menandingi kelincahan Australia.

Pakar pukulan sudut, Chris Ciriello menyumbang separuh daripada jaringan Australia bermula pada minit keenam, 17, 42 dan minit ke-52, sekali gus
dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Gol lain dihasilkan oleh Eddie Ockenden pada minit ke-11, Nicholas Budgeon (46'), Matt Ghodes (65') dan Tristan White pada minit ke-68.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Shahril Saabah pada minit ke-24, Rashid Baharom (40') dan Fitri Saari pada minit ke-67.

Australia, yang menduduki ranking pertama dunia, menjuarai kejohanan tersebut pada edisi pertama 1983, 1998, 2004, 2005, 2007, 2011 dan 2012.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berangkat bersama-sama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim untuk menyaksikan perlawanan akhir di
samping menyampaikan trofi kepada pasukan Australia diketuai Mark Knowles.

Sementara itu, Dharmaraj berkata berdasarkan prestasi pasukan khususnya tujuh pemain junior, beliau yakin mereka boleh pergi lebih jauh jika diberi peluang bersama skuad senior.

Bagaimanapun, Dharmaraj, bekas jurulatih skuad remaja, telah mencapai sasaran antara tiga pasukan terbaik dalam kalangan enam pasukan yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Keputusan penuh:

Juara: Australia

Naib Juara: MALAYSIA

Pemain Terbaik: Mark Knowles (Australia)

Piala Permainan Bersih: Korea Selatan

Penjaring Terbanyak: Nicholas Budgeon (Australia) 8 gol

Penjaga Gol Terbaik: Lee Myung Ho (Korea Selatan)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Chris Cirello (Australia).

Artikel Lain