suria

Massaro Juara Skuasy Wanita Dunia CIMB

GEORGE TOWN: Pemain skuasy wanita England, Laura Massaro dari England muncul juara dunia buat kali pertama dalam kariernya apabila merangkul Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29 di sini pada Ahad. 

Pada aksi final di Arena SPICE di sini, bekas naib juara dunia berusia 30 tahun itu menghadapi tentangan sengit sebelum menjinakkan pemain muda Mesir, Nour El Sherbini dengan keputusan 3-2.

Massaro, yang menjadi pemain profesional sejak 14 tahun lepas, bermula dengan cemerlang dengan memenangi set pertama 11-7 sebelum Nour menyamakan kedudukan 1-1 pada set kedua dengan 11-6.

Massaro kembali mendahului set ketiga dengan 11-9 tetapi lawannya berusia 18 tahun itu enggan menyerah mudah apabila menang 11-5.

Pada set penentuan, Massaro mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 11-9, sekali gus menamatkan kebangkitan pemain bukan pilihan itu yang menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, 3-2 pada saingan separuh akhir pada Sabtu.

"Saya memang tidak mahu melepaskan peluang ini. Dia (Nour) bermain dengan cemerlang dan pertarungan ini adalah sengit," kata Massaro yang membawa pulang hadiah wang tunai US$20,400 (RM67,466) dan trofi.

Nour, yang menduduki ranking ke-27 dunia, pula menerima US$13,800 (RM45,639). Nicol dan pemain Mesir, Raneem El Weleily, yang kalah pada perlawanan separuh akhir semalam, berkongsi hadiah tempat ketiga, iaitu wang US$8,100 (RM26,788).

Perlawanan akhir itu turut disaksikan oleh yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak.

Skuasy, England, CIMB, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Lain