suria

Piala Eurasia Mungkin Ditangguh Jika IPU Tidak Sihat

KUALA LUMPUR: Kejohanan sulung Golf Piala EurAsia anjuran DRB-Hicom dari 27 hingga 29 Mac ini mungkin ditangguhkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan tidak sihat.

Pengarah Kanan Golf EurAsia, Charlie Thingey berkata pihak penganjur akan memantau bacaan IPU dan panduan kesihatan bagi memastikan kejohanan berlangsung dalam suasana selamat tanpa menjejaskan kesihatan pemain.

Piala EurAsia, yang dimodelkan dengan Piala Ryder, menampilkan 10 pemain terbaik masing-masing dari Eropah dan Asia pada saingan tiga hari itu di Glenmarie Golf & Country Club di Shah Alam.

"Lapangan berada dalam keadaan hebat dan kami gembira dengan persediaan. Berikutan cuaca hujan sejak dua tiga hari lepas, kami positif kualiti udara akan bertambah baik.

"Kami mengharapkan keadaan cuaca yang baik tanpa hujan atau ribut petir sepanjang kejohanan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan trofi kejohanan di sini Selasa.

Trofi itu direka oleh Pengerusi Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dibuat oleh pengukir seni pertukangan perak yang mahir Hassan Mat Jusoh dari KB Permai Krafperak Kelantan Silver.

Kapten pasukan Asia ialah pemain veteran Thongchai Jaidee dari Thailand dan pemain pilihannya terdiri daripada Kiradech Aphibarnrat (Thailand), Gaganjeet Bhullar (India), Nicholas Fung (Malaysia), Kim Hyung-sung (Korea), Anirban Lahiri (India), Prayad Marksaeng (Thailand), Koumei Oda (Jepun), Siddikur Rahman (Bangladesh) dan Hhideto Tanihara (Jepun).

Pasukan Eropah diketuai oleh juara 20 kali dalam siri Jelajah Eropah, Miguel-Angel Jimenez dari Sepanyol. Pemain pilihannya ialah Thomas Bjorn (Denmar), Jamie Donaldson (Wales), Victor Dubuisson (Perancis), Gonzalo Fernandez-Castano (Sepanyol), Stephen Gallacher (Scotland), Pablo Larrazabal (Sepanyol), Joost Luiten (Belanda), Graeme McDowell (Ireland Utara) dan Thorbjorn Olesen (Denmark).

Kejohanan Piala EurAsia itu diiktiraf oleh Jelajah Asia dan Jelajah Eropah.

Piala Eursia, Golf, IPU

Artikel Sebelum

Artikel Lain