suria

Moto3: Hafiza Ganti Hafiq Di Jerez

Hafiza Rofa

KUALA LUMPUR: Penunggang muda Moto3 Malaysia yang sedang meningkat naik, Hafiza Rofa berpeluang menyertai ujian rasmi terakhir Kejohanan Dunia Moto3 di Litar Jerez, Sepanyol.

Pasukan SIC-Ajo menampilkan beliau sebagai penunggang ganti kepada rakan senegara Hafiq Azmi yang terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan pada tangan kanan.

Menurut kenyataan SIC-Ajo hari ini, dalam ujian rasmi tiga hari itu Hafiza bukan sahaja membuat penampilan sulung dalam ujian kejohanan dunia tetapi juga menunggang buat pertama kali di trek Eropah. 

"Saya sangat gembira kerana terlibat dalam ujian rasmi ini. Satu peluang yang hebat bagi saya kerana dalam tempoh dua minggu kami kembali ke litar ini bagi ujian kejohanan Sepanyol dan saya menimba banyak pengalaman," kata pelumba berusia 17 tahun itu dalam kenyataan berkenaan.

Katanya pengalaman itu banyak membantunya selain memulakan pramusim untuk '2014 CEV Spanish Championship' bagi Ajo Motosport. 

Di Litar Jerez, Hafiza menamatkan keseluruhan 83 pusingan dengan merekodkan masa terbaik 1:53.100s.

Kejohanan Dunia Moto3 bermula minggu depan di Litar Losail, Qatar dengan SIC-Ajo membuat penampilan sulung bersama penunggang sepenuh masa Hafiq Azmi.

Moto3, motoGP, Hafiza, Hafiq, Litar Jerez

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain