suria

Tenis: Azarenka Tarik Diri Terbuka Sony

Azarenka menarik diri bagi aksi Terbuka Sony di Miami minggu depan.

BINTANG tenis Belarus, Victoria Azarenka mengesahkan dia menarik diri daripada aksi Terbuka Sony di Miami minggu depan kerana kecederaan kaki.


Walaupun Azarenka berdepan dengan masalah kaki kirinya sejak beberapa bulan lalu, dia tetap menyertai beberapa kejohanan sehinggalah keputusan ini dibuat bagi mendapatkan rawatan.

"Saya teruja bermain di Amerika Syarikat  kerana keputusan sebelum ini amat memberangsangkan.

"Namun sejak kebelakangan ini seolah-olah nasib buruk menghantui saya," jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Tenis Wanita.

"Saya juga tidak beraksi pada kejohanan di Miami tahun lalu kerana kecederaan buku lali dan sekarang, masalah kaki. 

"Sudah tiba masanya saya mengambil masa untuk memulihkan kecederaan tersebut".

Azarenka mengalami kecederaan kakinya sejak Terbuka Australia Januari lalu ketika cuba untuk mendapatkan trofi tersebut buat kali ketiga berturut-turut.

Namun dia tewas kepada pemain Poland, Agnieszka Radwanska pada aksi suku akhir dan tidak beraksi sehinggalah kejohanan BNP Paribas di Indian Wells minggu ini. Bagaimana pun nasibnya tidak baik selepas kalah pada pusingan pembukaan kepada Lauren Davis.

Terbuka Sony merupakan kejohanan terbesar selain aksi Grand Slam dan menjadi satu satu temasya kegemaran Azarenka.

Dia memenangi gelaran ini pada tahun 2009 dengan menewaskan Serena Williams dan 2011 dengan mengetepikan Maria Sharapova.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain