Liga Super: PBSNT Nafi Sudah Jual Tiket Bertemu JDT - Sukan | mStar

Liga Super: PBSNT Nafi Sudah Jual Tiket Bertemu JDT

Pasukan Liga Super Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan sudah mula menjual tiket perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Takzim pada Sabtu ini. 

Pegawai Perhubungan Awam PBSNT Haslan Hashim berkata seperti biasa tiket hanya dijual sehari sebelum perlawanan dan bagi perlawanan itu persatuan akan membuka kaunter tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada Jumaat. 

"PBSNT tidak bertanggungjawab atas tiket-tiket yang dikatakan sudah mula dijual itu," katanya pada Selasa. 

Katanya tiket akan mula dijual dari pukul 10 pagi pada hari berkenaan.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa tiket perlawanan yang dijadualkan di sini itu sudah mula dijual.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan penyokong pasukan Terengganu agar menjaga kelakuan ketika perlawanan termasuk tidak membakar suar. "Kita juga harap perlawanan ini berjalan dengan baik dan penuh dengan semangat kesukanan," katanya.  

Menurut Haslan kawalan keselamatan juga dipertingkatkan dengan kerjasama pihak polis.

PBSNT , JDT , Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan