suria

Remaja Pahang Juara Piala Mamee 1Malaysia

Najib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pasukan PBNP selepas berjaya menjuarai perlawanan akhir Piala Mamee 1Malaysia di Kajang, Ahad. Foto BERNAMA

KAJANG: Skuad Remaja Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Mamee 1Malaysia selepas menewaskan Kelab Bola Sepak Presint 8 Putrajaya 2-1 di sini, Ahad.

Mohd Shafiz Zariah muncul wira pasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir menyaksikan perlawanan itu di Stadium Institut Penyelidikan Negara (INSPEN) dan menyampaikan tropi dan hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 kepada pasukan juara.

Jurulatih pasukan Remaja PBNP, Azaruddin Aziz gembira dengan kemenangan skuadnya.

"Selepas Mohd Shafiz menjaringkan gol, saya yakin kami akan menang dan pada 20 minit terakhir, pemain berjaya mengawal permainan," katanya.

Sebanyak 10 pasukan iaitu juara dan naib juara peringkat zon Utara, Timur, Selatan, Tengah dan Malaysia Timur bersaing pada pusingan terakhir pada Ahad.

Kejohanan itu yang bertema 'Bukan Hanya Sekadar Piala' mengajak golongan belia bersukan bukan hanya mahu muncul sebagai juara di samping memupuk semangat setiakawan dalam kalangan belia pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, 16 pemain terbaik daripada 180 pemain kejohanan itu akan diberi peluang menjalani latihan selama seminggu di Manchester United Soccer School (MUSS) di Old Trafford, England, April ini.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling berkata, senarai nama pemain akan diumumkan minggu depan.

Artikel Lain