suria

Piala Liga Juara-Juara: Moyes Mungkin Turunkan Welbeck Menentang Olympiakos

David Moyes.

PENGURUS Manchester United, David Moyes berkemungkinan besar akan menurunkan Danny Welbeck dalam kesebelasan utama dalam perlawanan menentang juara Greece, Olympiakos dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Liga Juara-juara Eropah awal pagi ini (waktu Malaysia). 

Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Karaiskakis. 

Penyerang antarabangsa England itu tidak turun beraksi sejak 1 Februari lalu kerana kecederaan pada otot lutut tetapi menurut Moyes, Welbeck kini sudah cergas untuk bermain. 

Ketidakhadiran perancang tengah, Juan Mata yang tidak layak bermain dalam pertandingan ini kerana telah mewakili Chelsea di peringkat kumpulan tahun lalu bermakna Moyes perlu memikirkan siapakah yang harus dia turunkan dalam perlawanan penting ini.Untuk rekod, Welbeck telah menjaringkan 10 gol dalam 25 perlawanan untuk United musim ini.  

Dengan United terlepas daripada sebarang komitmen perlawanan liga minggu ini memandangkan Manchester City akan bermain dalam perlawanan akhir Piala Capital One menentang Sunderland Ahad ini, maka Moyes mempunyai kelebihan untuk menurunkan skuad terkuatnya menentang Olympiakos. 

Jika tidak kerana perlawanan akhir Piala Capital One, United dijadualkan untuk menentang City hujung minggu ini. 

United dijadualkan untuk bermain menentang West Bromwich Albion hari Sabtu minggu berikutnya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain