suria

T-Team Turun Tiga Pemain Import Pada Perlawanan Persahabatan

KUALA TERENGGANU: Peminat pasukan T-Team bakal menyaksikan kelibat tiga pemain import dalam kempen Liga Malaysia musim depan apabila mereka diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu pada 26 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata pemain import berkenaan ialah penyerang skuad Indonesia, Patrich Steve Wanggai, Fabio Flor dari Brazil dan pemain Croatia, Ivan Partlov.

Beliau berkata Wanggai dijangka tiba di sini esok manakala Flor, Sabtu ini sementara Partlov sudah bersama pasukan sejak beberapa hari lepas untuk menjalani latihan.

Perlawanan persahabatan tersebut akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

"Perlawanan ini lebih kepada menilai prestasi pemain import serta kerasian mereka dengan pemain tempatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain pemain import, beliau berkata pemain skuad Harimau Muda A, Azwan Rahman akan menyertai pasukan itu selepas Sukan SEA di Myanmar, bulan depan.

Abdul Rashid berkata setakat ini T-Team mempunyai 22 pemain termasuk pemain import dan masih mencari tiga lagi pemain tempatan bagi melengkapkan senarai 25 pemain.

"Kita akan mencari penyerang terutamanya berstatus bintang...kalau-kalau ada pemain yang ingin menyertai pasukan T-Team," katanya.

Beliau berkata pemilihan terakhir pemain untuk didaftarkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dilakukan pada 26 November ini. - BERNAMA

Artikel Lain