suria

Chong Wei Masih Sandaran Utama Raih Pingat Emas Olimpik - Khairy

PUTRAJAYA: Bakat luar biasa yang dimiliki Datuk Lee Chong Wei menjadikan pemain nombor satu dunia itu terus menjadi sandaran utama bagi meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata daripada kaca mata beliau, Chong Wei merupakan atlet yang mempunyai keistimewaan tersendiri, biarpun usia jaguh badminton negara itu sudah melepasi 30-an.

Pada masa sama, Khairy berkata beliau tidak mahu meletakkan harapan seratus peratus kepada acara badminton kerana percaya atlet sukan lain turut mampu meraih pingat emas negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

"Saya bukan sentimental tetapi tidak dinafikan Chong Wei masih ada peluang. Saya sendiri bercakap dengan beliau (Chong Wei)...ada sesuatu yang istimewa tentang Chong Wei. "Atlet seperti beliau hanya datang mungkin dua atau tiga generasi sekali. Pada Olimpik akan datang, usianya 33 tahun dan beliau pernah beritahu saya, jika kondisi badan dapat dijaga dengan baik, mungkin peluang memberikan pingat emas itu ada," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini.

Sejak Malaysia menyertai Olimpik pada 1956, hanya beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Atlanta 1996) dan Chong Wei (Beijing 2008) yang hampir memberikan pingat emas pertama negara pada temasya itu, namun hajat mereka tersekat di peringkat akhir untuk sekadar meraih perak.

Dua beradik Razif-Jalani Sidek menyumbang pingat Olimpik pertama kepada Malaysia semasa temasya 1992 di Barcelona apabila meraih gangsa manakala adik mereka, Rashid Sidek memenangi gangsa dalam acara perseorangan.

Untuk rekod, kesemua pingat yang dimenangi Malaysia pada temasya Olimpik adalah menerusi acara badminton sehinggalah pada Sukan Olimpik London 2012, ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg memecah tradisi apabila muncul penyumbang pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform wanita.

Dalam pada itu, Khairy berkata kementerian akan memberi fokus dalam pelbagai aspek terhadap atlet sukan lain seperti berbasikal, terjun dan memanah bagi memastikan mereka benar-benar bersedia bersaing di pentas berprestij itu.

Beliau berkata atlet Olimpik seperti Khairul Anuar Mohamad daripada sukan memanah, pelumba trek Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng serta Pandelela mempunyai potensi besar meraih pingat emas pada temasya akan datang di Brazil. "Khairul Anuar mempunyai masa depan cerah dan memanah ialah satu daripada lapan sukan pilihan yang dikenal pasti untuk program 'Road to Rio'. Azizul, Josiah dan Pandelela, mereka masih muda dan mempunyai banyak masa untuk bersaing di peringkat paling tinggi," katanya.

Selain tumpuan meraih pingat emas, Khairy berkata kementerian turut menyenarai 54 atlet daripada 11 jenis sukan yang mempunyai peluang cerah menyumbang pingat kepada negara pada temasya Olimpik, dalam program 'Road to Rio 2016'.

Sebelas jenis sukan di bawah program itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lepas iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

Program 'Road to Rio 2016' adalah kesinambungan daripada program 'Road To London 2012', yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain