suria

Suzuka Endurance: Zaqhwan Tidak Tersenarai Ke Jepun

PASUKAN Musashi Boon Siew Honda Racing mengumumkan pelumba muda mereka, Mohd Zaqhwan Zaidi (gambar) tidak akan mengambil bahagian dalam perlumbaan terkemuka Suzuka Endurance Race ke-36 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun pada 26 hingga 28 Julai ini.

Juara bertahan saingan kategori 4-Hour itu pada asalnya berharap dapat membuat kemunculan kedua tahun ini namun peraturan baru perlumbaan memutuskan pelumba musim penuh Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam kategori tersebut.

Keputusan tersebut dibuat selepas persetujuan bersama diantara promoter kejuaraan dan pasukan-pasukan bertanding yang melihat penyertaan pelumba musim penuh ARRC kategori SuperSports 600cc bakal memberikan banyak kelebihan berbanding pelumba kategori 4-Hour yang rata-rata merupakan muka baru dalam sukan ini.

“Saya berasa sedih kerana tidak dapat mengambil bahagian pada tahun ini.

"Saya menanti-nantikan saat ini kerana ia dapat menjadi medan pendedahan berguna kepada saya, ditambah dengan suasana perlumbaan hebat dengan dihadiri ramai penonton yang menjerit memberikan sokongan.

"Malah, dapat beraksi di litar legenda seperti ini pasti menjadi memori yang cukup manis kepada saya,” kata Zaqhwan.

Walaupun kecewa, pelumba 18 tahun itu tidak menyalahkan mana-mana pihak dan memahami sebab kenapa promoter kejuaraan terpaksa bertindak sedemikian.

“Mereka mahukan satu perlumbaan yang adil dan saya tidak salahkan mereka diatas peraturan baru yang diperkenalkan kali ini.

"Namun saya rasa tidak memiliki banyak kelebihan pun di grid kerana ini hanyalah tahun kedua saya beraksi dalam perlumbaan SuperSports 600cc.

"Tetapi memandangkan kami melalui 12 perlumbaan (enam pusingan) setahun, ia mungkin dilihat sebagai satu kelebihan," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain