suria

Demba Ba Yakin Jadi Penyerang Pilihan Utama Mourinho

Demba Ba
Demba Ba
Demba Ba

SHAH ALAM: Penyerang kelab Chelsea FC, Demba Ba yakin beliau masih merupakan pilihan utama pengurus Jose Mourinho walaupun kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah membeli beberapa pemain bagi memantapkan saingan pada musim baharu ini.

Pemain kelahiran Senegal berusia 28 tahun itu, yang menyertai pasukan 'Blues' awal tahun ini daripada Newcastle United, berkata beliau akan berusaha keras untuk menempatkan diri dalam skuad utama daripada hanya memanaskan bangku simpanan sahaja.

"Saya mengharapkan pasukan ini akan mencapai musim yang baik. Bagi diri saya, adalah baik untuk melihat pemain baharu datang untuk memantapkan lagi pasukan di samping membawa lebih banyak kejayaan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan kelab itu di Stadium Shah Alam di sini, Sabtu.

Hampir 1,000 peminat setia 'Blues' berkunjung ke stadium untuk melihat pemain pilihan masing-masing mengikut sesi latihan selama sejam di bawah Mourinho.

Demba Ba juga memuji pendekatan jurulatih kelahiran Portugis itu semasa sesi latihan yang memberi manfaat kepada pasukan itu.

"Setakat ini, berlatih di bawah Mourinho amat baik kerana beliau memperkenalkan beberapa taktik yang jarang dilakukan pemain di bawah pengurus sebelum ini. Saya juga lihat beberapa pemain baharu mudah menyesuaikan diri," katanya.

Pandangan Demba Ba turut dikongsi oleh pemain baharu Mark Schwarzer yang berharap dalam beraksi sebagai penjaga gol utama walaupun terpaksa bersaing dengan Petr Cech.

"Bagi diri saya, ini merupakan saingan sengit kerana Chelsea mempunyai penjaga gol yang hebat dan berkualiti tetapi saya percaya dengan keupayaan saya dan akan meningkatkan usaha untuk beraksi lebih kerap," kata pemain warga Australia berusia 40 tahun itu yang berpindah dari kelab Fulham FC.

Pasukan itu akan menentang skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan di sini pada pukul 9.45 malam Ahad.

Pasukan EPL itu memulakan siri Jelajah Asia dengan mengatasi pasukan Thailand, Singha All-Star XI, 1-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Khamis lepas.

Kelab itu akan berada di Malaysia sehingga Selasa ini sebelum mengakhiri siri itu dengan menentang Indonesia XI bagi merebut Piala BNI di Stadium Bung Karno, Jakarta, Khamis ini. - BERNAMA

Chelsea FC, Demba Ba, Jose Mourinho, EPL

Artikel Sebelum

Artikel Lain