suria

Universiade: Sasaran Pingat Emas Perlu Realistik

KAZAN (Rusia): Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 yang melabuhkan tirai semalam, menyaksikan kontinjen Malaysia gagal menamatkan kemarau pingat emas pertama negara pada temasya berkenaan.

Lebih mengecewakan, pungutan tiga pingat gangsa pada temasya kali ini, gagal memperbaiki pencapaian pada edisi 2011 di Shenzen, China apabila Malaysia meraih satu pingat perak dan dua gangsa.

Mujur, acara badminton yang sentiasa menjadi penyumbang pingat kepada kontinjen negara pada temasya besar seperti Olimpik dan Sukan Asia sebelum ini, menjadi penyelamat kepada Malaysia daripada pulang dengan tangan kosong dari Kazan.

Tiga pingat gangsa tersebut diraih menerusi perseorangan lelaki Iskandar Zulkarnain, beregu lelaki Loh Wei Sheng-Jagdish Singh dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Persoalannya, mengapa pada setiap kali temasya sukan besar, badminton yang menjadi 'penyelamat' dan lebih menambahkan tekanan kepada pemain, acara berkenaan diletakkan harapan menyumbangkan pingat emas kepada Malaysia.

Kementerian Pendidikan perlu memberi lebih fokus terhadap sukan yang boleh menyumbangkan pingat tanpa mengira warna dan lebih realistik apabila menyasarkan pingat emas pertama negara pada temasya itu akan datang.

Ketua Kontinjen Malaysia ke temasya itu Datuk Dr Kassim Mohd Mansor bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaian peribadi atlet universiti negara yang kebanyakannya terdiri daripada atlet pelapis kebangsaan meskipun sasaran pingat emas pertama negara di Kazan tidak kesampaian.

Namun, beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu melakukan persiapan menyeluruh untuk atlet universiti negara agar prestasi mereka boleh dibanggakan pada Universiade ke-28, di Korea Selatan pada 2015.

"Satu pelan untuk menghadapi Universiade bagi dua tahun akan datang perlu dirangka sekarang agar lebih fokus dan realistik dalam menetapkan sasaran.

"Universiade bukan lagi platform untuk memberi pendedahan sahaja kerana peringkat sukan ini tinggi...perlu ada program sistematik yang perlu dibincangkan bersama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta persatuan sukan kebangsaan.

"Pelan tersebut perlu lebih fokus dengan memilih sukan yang berprestasi tinggi seperti yang dipraktikkan Korea Selatan dan Jepun, mereka tidak ketandusan atlet," katanya.

Kegagalan kontinjen Malaysia membaiki pencapaian pada edisi kali ini juga diharap membuka mata kepada persatuan sukan kebangsaan agar melihat Universiade sebagai temasya yang mempunyai standard tinggi serta memberi manfaat besar kepada atlet.

Bagi Penyelaras Sukan Kontinjen Malaysia ke Kazan, Tony Azman Hassan berkata persatuan sukan perlu sedar bahawa Universiade sangat membantu atlet pelapis mereka untuk meningkatkan prestasi pada tahap lebih tinggi. "Banyak perkara perlu kita buat terutama dalam acara menembak. Walaupun gagal menyumbang pingat pada Universiade kali ini, atlet menembak ini sangat berpontesi besar," katanya. Tony Azman turut terkilan dengan sikap segelintir persatuan sukan yang masih tidak memahami bahawa standard Universiade adalah tinggi dan platform terbaik kepada atlet untuk memperoleh pengalaman.

"Sekarang, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah nampak standard Universiade dan membenarkan pemain mereka beraksi di temasya ini.

"Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga membenarkan atlet pelapis mereka beraksi di Universiade yang impaknya, pemain mereka mencipta sejarah meraih pingat pertama buat negara dalam acara badminton," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

United Tewaskan All Star 5-1

Artikel Lain