suria

FAM Perkenal Langkah Baharu Elak Tiket Palsu

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenal pasti beberapa langkah baharu bagi mengatasi pengagihan tiket tidak adil serta penjualan tiket palsu melibatkan perlawanan akhir Liga Malaysia (Liga-M).

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata antara langkah itu ialah mempertingkat pemeriksaan tiket di pintu masuk stadium pada hari perlawanan bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai tiket sah dibenarkan masuk ke dalam stadium.

"Pemeriksaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan lain juga akan diperketat menerusi pemeriksaan rapi bagi mengelak penjualan tiket palsu," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatakuasa Eksekutif FAM kali kelapan yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah, di sini, Rabu.

Tengku Abdullah berkata penjualan tiket palsu merupakan kes jenayah dan mereka yang didapati bersalah, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata FAM juga akan mengubah sistem pengagihan tiket kepada pasukan yang layak ke perlawanan akhir dalam Liga-M supaya insiden tiket tidak mencukupi seperti semasa perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 29 Jun lepas, tidak berulang.

FAM juga akan menjual tiket kepada penonton secara terus dan tidak menerusi persatuan bola sepak negeri, yang sebelum ini diperuntukkan sejumlah tiket untuk dijual kepada penyokong mereka.

"FAM akan menjual sendiri tiket bagi memastikan pembahagian tiket kepada peminat dapat dilakukan secara adil dan bagi mengelak pembelian tiket secara pukal sehingga menyusahkan peminat mendapatkan tiket," katanya.

Tengku Abdullah bagaimanapun berkata pengagihan sebahagian tiket tetap diberikan kepada persatuan bola sepak negeri.

Isu ketidakadilan dalam pengagihan tiket perlawanan akhir Piala FA membabitkan pasukan Kelantan dan JDT timbul apabila sebahagian besar peminat 'The Red Warrior' gagal mendapatkan tiket perlawanan berkenaan.

Jualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu kecoh apabila tiket yang diedarkan tidak memenuhi jumlah permintaan malah terdapat penyokong mendakwa tiket habis dijual dalam tempoh kurang 15 minit.

Ada dakwaan menyatakan hanya 16 tiket yang sempat dijual kepada empat pembeli sekali gus mengecewakan penyokong yang hadir seawal 6 pagi bagi mendapatkan tiket perlawanan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adidas Gantung Penajaan Gay

Artikel Lain