suria

Aminuddin Terkilan SSBJ Enggan Lepaskan Tiga Pemain Utama Ke Slovakia

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Muda C, Aminuddin Hussin terkilan dengan pengurusan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang enggan melepaskan tiga pemain utamanya untuk menjalani latihan persediaan hampir dua bulan di Slovakia.

Mereka ialah penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed; pertahanan tengah, Mohd Raphi Azizan Mariappen dan pertahanan kiri, Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar.

"Apa yang difahamkan oleh saya, pengurusan SSBJ enggan melepaskan mereka memandangkan latihan itu disifatkan terlalu lama...kita menyediakan mereka dengan beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama enam bulan namun malangnya, mereka tidak mendapat pelepasan ke Slovakia. "Ketiadaan tiga pemain semestinya menjejaskan persiapan kita menghadapi kejohanan penting tahun ini yang telah lama dirancang," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Isnin.

Aminuddin berkata pasukan bimbingannya yang turut dikenali sebagai skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan akan berlepas ke Slovakia esok untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana sebelum menamatkan latihan persediaan mereka pada 20 Ogos ini.

Katanya latihan di negara Eropah itu adalah sebahagian daripada persediaan untuk anak didiknya menghadapi Kejohanan Bola Sepak Asean Bawah 19 Tahun di Surabaya, Indonesia dari 9-22 Sept ini dan pusingan kelayakan bola sepak B-19 di Zhejiang, China dari 8-12 Oktober.

Aminuddin berkata sepanjang berada di negara Eropah itu bermula esok sehingga 20 Ogos ini, skuad bimbingannya akan beraksi dalam lapan perlawanan ujian selain tiga perlawanan dalam Kejohanan Jemputan Piala Mintal di Zilina, Slovakia.

Untuk rekod, Harimau Muda A atau lebih dikenali sebagai skuad bawah 23 tahun yang sedang beraksi pada Temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Russia turut menjalani latihan persediaan di Vion, Slovakia.

Skuad Harimau Muda A bimbingan Ong Kim Swee 'berkampung' di negara Eropah berkenaan sejak Mac lepas sebagai persediaan awal untuk mempertahankan pingat emas bola sepak pada Sukan SEA Myanmar, Disember ini. -BERNAMA

Artikel Lain