suria

Velodrom Mini Perlis Harus Dibina Dalam Masa Terdekat - Shahidan

KUALA LUMPUR: Velodrom Mini Perlis harus dibina dalam masa terdekat untuk digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 yang dijadual Mei tahun depan, kata Presiden Persatuan Berbasikal Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurutnya, velodrom mini yang berkos kira-kira RM9 juta itu merupakan projek kerajaan pusat sebelum bermulanya kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, namun pembinaannya ditolak oleh kerajaan negeri sekarang.

"Peruntukan untuk membina velodrom tersebut sudah ada, mungkin tidak banyak.

"Jadi jika tidak boleh bina yang besar macam di Kuala Lumpur, kita boleh bina velodrom mini yang menepati kehendak dan piawaian yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Saya juga menolak kenyataan sesetengah pihak bahawa kontraktor di Perlis tidak mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk membina serta mengendalikan projek-projek besar seperti pembinaan velodrom mini tersebut," katanya kepada pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, pada Khamis.

Shahidan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata kontraktor dipertanggungjawabkan di Perlis itu pernah membina beberapa projek besar seperti Brasmana Hotel di Kuala Perlis dan juga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Bagaimana isu kontraktor Perlis tidak berkeupayaan membina velodrom itu boleh timbul sekarang?" tanya Shahidan dan beliau pada masa sama menggesa velodrom tersebut dibina secepat mungkin.

Menurutnya, pembinaan velodrom itu boleh disiapkan dalam masa antara tujuh dan lapan bulan sahaja dan sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan, pihak pengurusan Sukma Perlis perlu menelitinya kembali.

Shahidan berkata kewujudan velodrom mini itu juga adalah satu kepentingan bagi memastikan pelumba-pelumba trek Perlis seperti Ju Pha Som Net terus mengasah bakat mereka dalam sukan berbasikal.

Katanya, keputusan untuk membina velodrom di Sungai Batu Pahat itu tidak boleh ditarik balik kerana kewujudan velodrom di negeri tersebut adalah perlu kerana pelumba-pelumba negeri itu sudah menjanjikan sekurang-kurangnya empat pingat emas kepada Perlis pada Sukma 2014 nanti.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain