suria

Annuar Musa Minta Anggota Gabungan FAM Berani Buka Mulut

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mencadangkan anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan usul agar persatuan itu memanggil mesyuarat luar biasa (EGM) bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Bekas Timbalan Presiden FAM itu berkata dengan cara berkenaan, segala isu yang menjadi pertikaian hari ini boleh diselesaikan secara teratur dan anggota dapat memutuskannya secara kolektif.

"Hanya dengan cara demikian kita (anggota gabungan) boleh menentukan agar FAM melaksanakan arahan EGM lagipun kongres FAM akan diadakan tidak lama lagi," katanya menerusi laman sosial Facebook.

Kewibawaan FAM sebagai badan induk sukan bola sepak negara semakin tercalar dengan kritikan hebat daripada beberapa pentadbir sukan termasuk Menteri Belia dan Sukan yang baharu Khairy Jamaluddin yang mempertikaikan keputusan FAM dalam isu perlawanan semula separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan johor Darul Takzim baru-baru ini.

Pada Rabu Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor memberi kritikan pedas kepada FAM.

Kenyataan yang dibuat atas kapasitinya sebagai Tengku Mahkota Johor (TMJ) menggesa FAM segera berubah demi bola sepak negara.

Antaranya Tunku Ismail berkata FAM gagal memberi layanan adil kepada gabungan, tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat, selain membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata kongres biasanya dikendalikan mengikut agenda dan kemahuan urusetia, justeru EGM adalah cara terbaik kerana hanya memerlukan persetujuan satu per lima daripada anggota gabungan dalam membahaskan usul.

"Masanya sudah tiba soal FAM dibincang secara serius dan jika terus berdepan dengan polemik ianya tidak ke mana...pada saya bola berada di kaki ahli gabungan dan sudah tiba masanya untuk kita menjaringkan gol," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan TMJ semalam, Annuar berkata baginda bukan sahaja berhak memberi pendapat malah harus bersuara dan semua anggota gabungan seharusnya berani untuk bersuara.

"Hari ini TMJ sekali lagi meluahkan perasaan baginda dan saya dapat memahaminya kerana saya sendiri dan Kelantan pernah melalui episod yang sama," katanya.

Sementara itu, Setiausaha kehormat FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

"Ribuan maaf saya tidak hendak membuat apa-apa komen," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain