suria

Yakeb Salur Sumbangan Insurans RM31,000 Kepada Keluarga Allahyarham Kamarudin

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb)akan menyalurkan sumbangan insurans berjumlah RM31,000 di bawah Skim Perlindungan Insurans Hayat Berkelompok kepada keluarga bekas pemain bola sepak kebangsaan Allahyarham Kamarudin Mohd Nor.

Pegawai perhubungan Yakeb Muhammad Aiman Aminul menyifatkan pemergian Allahyarham Kamarudin satu kehilangan besar buat sukan bola sepak negara.

"Allahyarham ialah seorang wira kerana banyak menabur jasa bukan hanya sebagai pemain tapi juga sebagai jurulatih beberapa pasukan bola sepak

Liga Malaysia," katanya.

Kamarudin sebelum ini menjalani pembedahan pintasan jantung dan berada dalam keadaan kritikal sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada pukul 6.20 petang Selasa. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Mindef semalam (Selasa) yang turut dihadiri para pemain daripada pasukan ATM dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panji, Kota Bharu, awal pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fatimah Mohd Zaman, 52, dan empat orang anak – Mohd Khairul Fitri (28), Fakrul Faris (24), Fakrul Faiz (22) dan Fatin Amani (17).

Sebagai pemain, Allahyarham mula mencipta nama bersama skuad belia kebangsaan kendalian Datuk M.Karathu di Kejohanan Belia Asia pada 1976 selain pernah membantu skuad negara memenangi pingat emas di Sukan SEA Jakarta 1979 dan menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun sama.

Kamarudin, 56, yang beraksi di posisi pertahanan kiri juga merupakan pemain termuda pernah diserap ke skuad senior Kelantan pada 1975 pada usia 18 tahun dan mewakili Kelantan sehingga penghujung 1980-an.

Sejurus bersara, Allahyarham terlibat dalam bidang kejurulatihan dan beliau pernah melatih pasukan seperti Kelantan, Telekom Melaka dan terbaharu berkhidmat sebagai pembantu jurulatih skuad Liga Super Angkatan Tentera Malaysia sejak 2012. -BERNAMA

Artikel Lain