suria

ASUM Nafi Atlet Terjun Tidak Dilayan Baik

KUALA LUMPUR: Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyangkal dakwaan bahawa skuad terjun negara tidak dilayan dengan baik hingga terpaksa tidur di lantai di sebuah lapangan terbang di New York sebelum bertolak ke Florida bagi menyertai Kejohanan Terjun Grand Prix FINA 2013.

Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong berkata kesemua atlet diberi layanan yang baik dan mereka dinasihatkan oleh jurulatih untuk tidur di lantai dengan beralaskan beg tidur (sleeping bag) dan bantal sendiri.

"Kita sendiri yang menasihatkan atlet untuk tidur di lantai kerana kita bimbang jika mereka tidur di kerusi selama dua hingga tiga jam, ia akan memberi kesan buruk kepada otot mereka," katanya.

Beliau diminta mengulas rungutan banyak pihak mengenai perkara itu setelah melihat gambar yang dimuat naik ratu renang negara, Pandelela Rinong di laman sosial Instagram miliknya yang menunjukkan skuad itu tidur di lantai lapangan terbang itu sementara menunggu penerbangan transit dari New York ke Florida selama lapan jam, tiga hari lepas.

Chong berharap masyarakat tidak mudah membuat andaian kerana atlet sudah dinasihatkan terlebih dahulu untuk membawa bantal dan beg tidur masing-masing sebagai langkah awal jika penerbangan transit mengambil masa yang lama.

Mengenai sasaran pada kejohanan itu dari Khamis hingga Ahad ini, beliau tidak meletakkan sasaran dan mahu atlet menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuk membiasakan diri dengan keadaan kolam terbuka sebelum ke Kejohanan Dunia di Barcelona, Sepanyol, Ogos ini.

"Pada kejohanan Terjun Grand Prix FINA, kolamnya terbuka sama seperti di Sepanyol, jadi kita harap atlet dapat menggunakan peluang ini untuk lebih bersedia bagi Kejohanan Dunia pula," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain