suria

Soon Huat Ketuai Cabaran Negara Ke Final Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain pelapis negara Goh Soon Huat akan mengetuai cabaran negara bersama dua lagi wakil pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2013 di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, Sabtu.

Pada saingan separuh akhir Jumaat, Soon Huat menundukkan rakan senegara Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam rubber-set 21-18, 18-21 dan 21-16 untuk berjumpa dengan pemain Indonesia Alamsyah Yunus.

Alamsyah menempah tiket ke final dengan mengatasi pemain China, Chen Yueken 21-22, 21-17, 21-11.

Meskipun pernah kalah kepada Alamsyah 17-21, 21-17 dan 7-21 dalam pusingan kedua Terbuka Australia tahun ini, Soon Huat bagaimanapun berazam menebus kekecewaan dengan merangkul gelaran juara di halaman sendiri.

Beregu emas negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menepati ramalan ke final apabila mengalahkan beregu senegara Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari 17-21, 21-14, 21-16.

Boon Heong berkata mereka akan melakukan yang terbaik untuk merangkul gelaran apabila menentang beregu senegara Goh V Shem/Lim Khim Wah.

Katanya, sekiranya memang, ia akan meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi Piala Sudirman dan Piala Dunia nanti.

V Shem/Khim Wah melangkah ke final dengan menumpaskan beregu Indonesia, Alvent Yulianto Chandra/Markis Kido dengan keputusan 17-21, 21-12, 21-15.

Beregu campuran negara Tan Aik Quan/Lai Pei Jing pula akan bertemu gandingan dari Indonesia Praveen Jordan dan Vita Marissa pada peringkat akhir.

Mereka menundukkan pasangan Indonesia, Gideon Markus Fernaldi/Aprilsasi Putri Lejarsar Variella 13-21, 21-15 dan 21-13.

"Ini merupakan pertama kali kami menjejak kaki ke final kerana pencapaian terbaik kami sebelum ini hanya setakat suku akhir dan saya harap kami dapat mencipta nama selepas dua tahun bersama," kata Aik Quan.

Gandingan Indonesia Praveen Jordan/Vita Marissa mara ke akhir selepas mengejutkan pilihan pertama Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dari Malaysia dengan 21-17 dan 21-12.

Beregu wanita tunggal negara Pia Goh Liu Ying/Lim Yin Loo gagal mara ke final apabila kalah kepada beregu Indonesia Pia Zebadiah Bernadeth dan Rizki Amelia Pradipta dengan keputusan 15-21, 21-17 dan 18-21.

JADUAL PERLAWANAN AKHIR:

Perseorangan Lelaki:

Goh Soon Huat (MAS) mln Alamsyah Yunus (INA)

Perseorangan Wanita:

Gu Juan (SIN) mln Sindu P.V. (IND)

Beregu Lelaki:

Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (MAS) mln Goh V Shem/Lim Khim Wah (MAS)

Beregu Wanita:

Pia Zebadiah Bernadeth/Rizki Amelia Pradipta (INA) mln Aprilsasi Putri Lejarsar Variella/Vita Marissa (INA)

Beregu Campuran:

Praveen Jordan/Vita Marissa (INA) mln Tan Aik Quan/Lai Pei Jing (MAS) - BERNAMA

Artikel Lain