suria

ATM Naik Ke Tangga Kedua Liga Super

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya ketinggalan satu mata dengan pendahulu Liga Super, Lions XII, selepas mengalahkan T-Team 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat.

Kemenangan ATM ke atas pasukan berstatus kelab itu membolehkan mereka mengumpul 27 mata selepas 15 perlawanan, sekali gus memintas Johor Darul Takzim yang mengumpul 25 mata dengan kelebihan satu perlawanan pada 11 Mei ini.

Pemain gantian Venice Elphi a/k Danny Kaya muncul wira pasukan ATM selepas menanduk masuk sepakan sudut yang diambil oleh Irwan Fadzli Idrus pada minit ke-67.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), wakil kelab Lembah Klang, Felda United FC mencapai kemenangan ketiga selepas 15 perlawanan apabila mengalahkan Perak 3-1.

Gol skuad 'The Settlers' itu dijaringkan oleh pemain import baharu dari Haiti, Leonel Saint-Preux pada minit ke-30, Razali Umar Kandasamy (minit ke-38) dan Rudie Ramli pada minit ke-54.

Gol saguhari Perak disumbangkan oleh Paulo Rangel menerusi sepakan penalti pada minit ke-43.

Perak kemudian ditimpa malang selepas penyerang mereka, Abdul Hadi Yahya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan kerana memijak pemain tuan rumah pada minit ke-59.

Dalam saingan Liga Perdana, Sime Darby FC terus melebarkan rekod kemenangan mereka kepada 12 perlawanan selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Perlis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Penyerang sensasi Sime Darby Karlo Primorac mencipta hatrik menerusi gol pada minit 15, 18 dan 85 (penalti) serta Togaba Kontiwa (minit ke-75) manakala gol saguhati pasukan pelawat dijaringkan oleh Romdhizat Jamian pada minit ke-60.

Di Stadium Negeri Kuching, pasukan tangga kedua, Sarawak turut mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 14 perlawanan apabila menundukkan SPA Putrajaya FC 2-1.

SPA terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-43 menerusi gol pemain import dari Cameroon, Joël Armel Tchami Ngalaha sebelum Sarawak bangkit dengan dua gol sumbangan Guy Bwele (minit ke-57) dan Bobby Gonzales (minit ke-70).

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Johor FA turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Kuala Lumpur 3-1.

Gol Johor FA dijaringkan oleh Ezequiel Adrian pada minit ke-18, Juan Muriel Orlando (minit ke-44) dan Mohd Izuan Jarudin (minit ke-50) manakala gol tunggal skuad warga kota dijaringkan oleh Khairul Anuar Shafie pada minit ke-41.

Lain-lain perlawanan menyaksikan Sabah membelasah wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC 4-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala UiTM FC terikat 1-1 menentang Pos Malaysia FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Perlawanan antara Kedah bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam Jumaat ditunda pada 25 Mei ini di venue yang sama.

Liga Malaysia akan berhenti rehat sementara bagi memberi laluan kepada hari mengundi sempena Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), Ahad ini sebelum bersambung semula pada 10 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Lain