suria

ARRC: Ramdan Lebih Bersemangat Selepas Kejayaan Di Batu Kawan

Mohd Ramdan Mohd Rosli
 Mohd Ramdan Mohd Rosli
Mohd Ramdan Mohd Rosli

PELUMBA remaja, Mohd Ramdan Mohd Rosli tidak sabar untuk memulakan kempennya di dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS 2013 (ARRC) yang bakal membuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 21 April ini.

Pelumba pasukan PETRONAS AHM Malaysia itu cukup yakin musim ketiganya dalam kelas SuperSports 600cc akan menjanjikan keputusan lebih baik setelah menemui keserasian dengan jenteranya.

Di samping itu, Ramdan juga lebih bersemangat setelah mencapai kedudukan podium pada pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambahan lagi, pemuda berusia 17 tahun itu turut mencatat beberapa kejayaan di atas jentera Yamaha YZF-R6 miliknya dengan sebuah kemenangan di Siri Pan Delta di Zhuhai, Cina dan satu kedudukan podium di Indospeed Racing Series (IRS) di Indonesia.

Teruja dengan peningkatan yang dipamerkan, Ramdan berkata, “Banyak usaha telah dilakukan sebagai persediaan melangkah ke musim baru ini.

"Selain dari sesi ujian pra-musim Februari lalu, kami juga ada melakukan beberapa ujian tertutup serta menyertai beberapa kejuaraan di luar negara.”

"Walaupun agak penat, namun ia banyak membantu saya menyesuaikan diri dan memahami jentera Yamaha R6 ini dengan lebih baik.

"Secara tidak langsung, ini memberikan saya lebih keyakinan untuk memacu jentera dengan lebih pantas dan agresif musim ini,” tambah anak muda kelahiran Klang yang menjadi rakan sepasukan pelumba Australia, Michael Blair tahun ini.

Ramdan juga turut menjelaskan tentang persembahan hambarnya dalam kategori SuperSports 600cc tahun lepas.

“Pelbagai kesukaran melanda kempen saya musim lalu. Yang pertama, saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan jentera 600cc.

"Tambahan pula, dengan tahap persaingan yang jauh lebih tinggi, misi merapatkan jurang masa dengan pelumba-pelumba hadapan menjadi amat sukar, lebih-lebih lagi di litar-litar asing.

“Selain itu, mungkin faktor nasib juga tidak menyebelahi saya. Saya cedera semasa latihan di Sepanyol dan terpaksa dikecualikan dari dua pusingan berturut-turut.

"Kekurangan pengalaman di atas litar-litar antarabangsa turut menjadi antara penyebab utama mengapa keputusan saya kurang cemerlang.

"Namun itu semua sejarah silam. Saya telah belajar dari kesilapan dan lebih bersedia kali ini,” jelas Ramdan.

Artikel Lain