suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

24 Pasukan Sertai Kejohanan Ragbi B-16 yayasan CIMB-COBRA

KUALA LUMPUR: Dua puluh empat pasukan termasuk tujuh pasukan luar negara mengesahkan penyertaan pada edisi ke-10 Kejohanan Ragbi 10 sebelah Bawah 16 tahun di Akademi Badminton Setia Alam, Shah Alam pada 13 dan 14 April ini.

Tujuh pasukan luar yang bakal beraksi pada kejohanan anjuran Yayasan CIMB dan Combined Old Boys Rugby Association (Cobra) itu ialah Mandurah Catholic College dan Southern Lions Rugby Union Football Club, kedua-duanya dari Australia.

Yang lain ialah Surawittayakarn School dan Kanjanaditwitta Yacom School dari Thailand; Western Height High School (New Zealand), Shih-Men Junior High School (Taiwan) dan Brunei International School.

Presiden Cobra Lt Kol (B) Tommy Pereira berkata menerusi kejohanan itu, seramai 60 pemain tempatan akan dipilih untuk sesi pemilihan bagi mewakili negara ke Kejohanan Ragbi Remaja Asia Bawah 19 tahun di Bangkok, Thailand Disember ini.

"Saya rasa pemilihan pemain ke Bangkok agak mencabar memandangkan peningkatan dari segi corak permainan dalam kalangan pemain tempatan itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan di sini hari ini.

Pereira berkata penganjur juga memutuskan untuk membuka peluang kepada lebih banyak sekolah bertanding pada tahun ini bagi memastikan perkembangan berterusan sukan ragbi negara di peringkat akar umbi.

"Kita telah mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan Kementerian Pelajaran bagi memastikan lebih banyak sekolah dapat menyertai kejohanan pada tahun ini," katanya.

Pada edisi pertama sehingga kesembilan kejohanan itu, beliau berkata penyertaan hanya dibuka kepada juara bawah 15 tahun di peringkat negeri, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 dari Kelantan dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dulu dikenali Sekolah Sukan Bandar Penawar) dari Johor.

Kejohanan tahunan yang bermula sejak 2005 itu merupakan sebahagian komitmen Yayasan CIMB dan Cobra mencungkil bakat muda dalam sukan ragbi di peringkat remaja dan mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain