suria

All England: Laluan Chong Wei Tetap Berliku

KUALA LUMPUR: Kejuaraan All-England, antara kejohanan tertua dan berprestij dalam kalendar badminton antarabangsa, bakal membuka tirai pada Selasa di National Indoor Arena, Birmingham dengan menyaksikan kehadiran jaguh-jaguh ternama dunia terutama dari rantau Asia.

Sejak diperkenalkan pada 1898, skuad badminton Malaysia sentiasa menghantar wakil pada kejohanan itu yang diiktiraf Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sebagai kejohanan kategori 'Siri Super Premier' yang menawarkan hadiah lumayan keseluruhannya bernilai US$400,000 (RM1.243 juta).

Harapan rakyat Malaysia sudah semestinya disandarkan kepada bahu pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang pernah memenangi kejuaraan berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada 2010 dan 2011.

Tahun lepas, Chong Wei gagal mempertahan kejuaraan selepas mengalami kecederaan bahagian belakang badan sekaligus terpaksa melepaskan takhta kejuaraan kepada musuh ketatnya, Lin Dan dari China. Kemenangan itu, sebaliknya ialah kali kelima untuk pemain tangan kidal dari negara Tembok Besar itu yang pernah meraih kejuaraan sama pada 2004, 2006, 2007 dan 2009.

Ketiadaan Lin Dan pada kejohanan kali ini, bagaimanapun bukanlah jaminan buat Chong Wei untuk mudah meraih kejuaraan buat kali ketiga kerana beliau bakal dicabar pemain lain seperti pilihan kelapan, Nguyen Tien Minh dari Vietnam di suku akhir serta pilihan ketiga, Du Pengyu dari China di separuh akhir seandainya kedua-dua pemain berkenaan menepati ramalan ke peringkat itu.

Perseorangan lelaki negara yang lain seperti Liew Daren, Mohd Arif Abdul Latif, Misbun Ramdan Misbun serta Chong Wei Feng mungkin sukar melepasi pusingan pertama berdasarkan prestasi semasa yang tidak menentu selain undian yang tidak memihak kepada mereka pada kejohanan kali ini.

Liew, juara Terbuka Perancis 2012, misalnya bakal berdepan tugas getir selepas diundi bertemu pemain kelima dunia, Chen Jin dari China yang merupakan bekas juara kejohanan edisi 2008, seawal pusingan pertama.

Untuk rekod, pencapaian terbaik perseorangan lelaki negara pada kejohanan itu ialah menerusi mendiang Datuk Eddy Choong yang berjaya meraih kejuaraan sebanyak empat kali iaitu pada 1953, 1954, 1956 dan 1957. Dalam kategori beregu lelaki, tidak banyak harapan yang mampu diberikan pasangan nombor satu negara, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong yang mempamerkan prestasi ala 'yoyo' sepanjang tahun lepas, dengan hanya meraih kejuaraan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di laman sendiri.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagaimanapun boleh menarik nafas lega kerana bakal pengganti beregu berkenaan iaitu Goh V Shem-Lim Khim Wah semakin menunjukkan peningkatan terutama dalam dua kejohanan awal tahun ini iaitu Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia.

Pasangan berkenaan yang tidak diletakkan selaku pemain pilihan, mara ke suku akhir pada Terbuka Korea dan melangkah ke separuh akhir pada Terbuka Malaysia, sekaligus kelibat mereka amat dinantikan pada kejuaraan di Birmingham kali ini.

Harapan untuk melihat wakil negara melangkah ke pusingan seterusnya dalam kategori wanita juga agak sukar kerana sejak acara itu dipertandingkan pada 1900, tiada wakil negara yang berjaya melangkah lebih jauh dalam kejohanan berkenaan sama ada dalam perseorangan mahupun beregu.

Prospek untuk meraih kejuaraan dalam beregu campuran juga samar berdasarkan prestasi semasa yang tidak menentu oleh pasangan nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Pencapaian terbaik beregu nombor tiga dunia itu sepanjang tahun lepas hanyalah muncul juara Terbuka Jepun dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia selain muncul naib juara Terbuka Malaysia 2013.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata badan induk badminton kebangsaan itu telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua pemain di bawah naungannya pada mana-mana kejohanan tempatan mahupun antarabangsa termasuk Kejuaraan All-England.

Katanya BAM menyasarkan Chong Wei untuk meraih tiga kejuaraan pada tahun ini iaitu All-England, Kejohanan Badminton Piala Sudirman (Kejohanan Badminton Campuran Dunia) di Kuala Lumpur pada Mei dan Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China pada Ogos depan. "Yang lebih penting kepada kita ialah Chong Wei mampu mengekalkan ranking beliau selaku pemain nombor satu dunia bagi memudahkan laluan beliau pada Kejohanan Dunia nanti.

"Pemain lain juga harus berusaha kerana mereka telah diberikan KPI masing-masing dan sekiranya mereka gagal mencapai KPI berkenaan, panel kejurulatihan kita akan menilai kelemahan yang ada pada seseorang pemain itu sebelum mengambil tindakan yang bersesuaian," katanya. Dalam pada itu, Kenny berkata badan induk itu tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap mana-mana pemain di bawah naungannya tanpa mengkaji terlebih dahulu punca kemerosotan mereka dalam sesuatu kejohanan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain