suria

Adiq Hussaine Muncul Pelumba Terbaik Malaysia Pada LTdL 2013

KUALA TERENGGANU: Pelumba pasukan profesional benua, Champion System Pro Cycling Team, Mohd Adiq Hussainie Othman muncul sebagai pelumba terbaik keseluruhan Malaysia pada edisi ke-18 jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Mohd Adiq Hussainie, 21, menamatkan saingan 10 peringkat itu di tempat ke-28 dengan mencatatkan masa terkumpul 35 jam, lima minit dan 16 saat, 12 minit dan sembilan saat di belakang juara keseluruhan Julian David Arredondo Moreno dari Colombia.

Arredondo, pelumba pasukan Nippo-De Rosa, meraih jersi Kuning selepas mengumpul catatan masa 34'53:07s.

"Saya bersyukur kerana berjaya menjadi pelumba terbaik Malaysia keseluruhan selepas tiga kali saya menyertai perlumbaan LTdL ini. Ia adalah penghargaan untuk saya," kata Mohd Adiq.

Kejayaan Mohd Adiq Hussainie itu membolehkan beliau menerima Anugerah Pelumba Terbaik Malaysia oleh Telekom Malaysia, yang pertama kali diperkenalkan pada edisi kali ini.

Beliau menerima trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Menurut Mohd Adiq Hussainie, tumpuan beliau selepas ini ialah sama ada mewakili Malaysia ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India.

"Bagaimanapun, saya perlu mendapat kebenaran atau pelepasan daripada Champion System Pro Cycling Team untuk menyertai ACC. Kalau tidak saya akan mengikut pasukan saya menyertai Jelajah Taiwan," katanya.

Sementara itu pelumba pecut negara, Anuar Manan muncul sebagai 'Raja Pecut' terbaik Malaysia selepas menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dengan mengumpul 76 mata.

Kategori Raja Pecut (jersi biru) itu dimenangi pelumba Itali, Francesco Chicchi daripada pasukan Vini Fantini-Selle Italia, yang mengumpul 96 mata.

Penyertaan kali kelapan dalam LTdL memberi kenangan manis buat pelumba berusia 26 tahun, Loh Sea Keong daripada pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team muncul selaku 'Raja Bukit' terbaik Malaysia.

"Selepas lapan tahun saya sertai LTdL, inilah kali pertama saya merasai menaiki podium. Ia seperti satu pencetus semangat untuk saya mencari lebih banyak kejayaan di masa depan," katanya.

Dalam kedudukan keseluruhan berpasukan, pasukan kebangsaan Malaysia menempatkan diri dalam kedudukan ke-15, manakala pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) di tempat ke-19 daripada 22 pasukan yang menyertai edisi ke-18 LTdL kali ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain