suria

Arredondo Dinobat Juara LTdL 2013

KUALA TERENGGANU: Pakar pendaki Colombia Julian David Arredondo Moreno merangkul kejayaan keseluruhan buat julung kali dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Dalam perlumbaan 10 peringkat yang melabuhkan tirainya di Kuala Terengganu hari ini, pelumba Colombia berusia 25 tahun itu, dinobatkan juara keseluruhan apabila mengumpul catatan masa terkumpul 34 jam, 53 minit dan tujuh saat.

"Saya amat gembira dengan pencapaian ini. Saya bangga dapat mengekalkan jersi Kuning sehingga peringkat terakhir. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan atas pengorbanan mereka dalam mencapai matlamat kami," kata pelumba pasukan Nippo-De Rosa itu.

Perlumbaan peringkat ke-10 dan terakhir dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu, sejauh 114.80km itu, menyaksikan pelumba Itali, Andrea Guardini gagal mempertahankan gelaran Raja Pecut untuk kali ketiga berturut-turut.

Adalah difahamkan pelumba pasukan Astana Pro itu mengalami masalah sakit perut sejak Khamis lepas.

Bagaimanapun, rakan senegara, Francesco Chicchi dari pasukan Vini Fantini-Selle Italia berjaya menungguli peringkat akhir hari ini, sekali gus melakarkan kemenangan dua peringkat pada jelajah edisi ke-18 ini. Cuaca panas terik tidak menghalang Chicchi, 33, untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa dua jam, 39 minit dan empat saat.

Chicchi, yang mengekori Guardinii dengan hanya lima mata selepas peringkat kesembilan dengan 81 mata, berjaya merampas gelaran Raja Pecut dengan mengumpul 15 mata dan bonus 10 mata selepas menjuarai peringkat akhir.

"Saya suka perlumbaan ini. Saya tidak boleh mengharapkan permulaan yang lebih baik dengan pasukan ini dengan dua kemenangan peringkat dan mengumpul mata pada acara pecut," katanya.

Pelumba China, Wang Meiyin muncul sebagai pelumba terbaik Asia dengan menyarung jersi Putih sejak perlumbaan peringkat pertama. Pasukan profesional benua berpangkalan di Afrika Selatan, MTN Ohubeka dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan dengan catatan masa terkumpul 104 jam, 48 minit dan 19 saat.

Pasukan Malaysia dan Terengganu Cycling Team menamatkan saingan pada edisi kali ini dengan masing-masing menduduki tempat ke-15 dan 19 dalam kategori berpasukan. -BERNAMA

Artikel Lain