suria

Wang Kuasai Peringkat Ketiga LTdL

CAMERON HIGHLANDS: Penunggang China, Wang Meiyin dari Hengxiang Cycling Team menguasai peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Sungai Siput ke Cameron Highlands pada Sabtu.

Wang, 25, yang mendahului di 20km sebelum garisan penamat dengan defisit lapan minit, menguasai laluan mendaki ke Brincang dalam masa tiga jam, 50 minit dan satu saat.

Mengekori rapat ialah penunggang Colombia, Julian David Arredondo Moreno dari Team Nippo-De Rosa dengan catatan 3'52:28s dan penunggang Australia, Nathan Haas dari Garmin Sharp dalam masa 3'53:12s.

"Di 20km (sebelum tamat perlumbaan), saya melakukan henjutan daripada kumpulan pendahulu dan saya berjaya menjarakkan diri daripada peloton. Saya tidak menjangka untuk menang dan saya hanya melakukan yang terbaik," kata Wang.

Kemenangan peringkat ini menjadikan Wang pendahulu dalam kelompok pelumba terbaik, dengan kelebihan 02:43s mengatasi Arrendondo Moreno di tempat kedua. Beliau turut memenangi jersi merah (raja bukit), jersi biru (raja pecut) dan mengekalkan jersi putih (pelumba terbaik asia keseluruhan) selepas tiga peringkat.

Kemenangan peringkat ketiga memberi Wang mata maksimum 25 sebagai pendahulu dengan 44 mata dalam acara mendaki, 24 mata di depan Arredondo.

Dalam acara pecut, Wang turut berada di tempat teratas dengan 36 mata, enam mata di depan penunggang Belanda Theo Bos dari Blanco Pro Cycling Team.

Peringkat keempat esok dengan jarak 168km dari Tapah, Perak ke Kapar, Selangor menawarkan tiga zon pecut masing-masing di Teluk Intan, Sungai Besar serta Kuala Selangor dan tidak termasuk kategori mendaki. -BERNAMA

Artikel Lain