suria

Adiq Hussainie Pelumba Malaysia Pertama Sampai di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Status sebagai pelumba domestik tidak menghalang Mohammed Adiq Husainie Othman menjadi pelumba pertama Malaysia tiba di Cameron Highlands pada perlumbaan peringkat ketiga jelajah Le Tour de Langkawi (LTDdL) 2013, di sini, Sabtu.

Pelumba berusia 22 tahun yang mewakili pasukan Champion System Pro Cycling itu menamatkan saingan pendakian dari Sungai Siput, Perak ke Cameron Highlands sejauh 140.7km itu dengan menduduki tempat ke-33. "Pada 15km terakhir saya cuba sedaya upaya untuk mencari kedudukan terbaik sebab jurulatih memang menyasarkan untuk pasukan kami mendapat kedudukan yang baik dalam peringkat ini.

"Syukur kerana tiga pelumba pasukan kami berada dalam kelompok hadapan. Saya menjadi pelumba ketiga pasukan yang tiba," katanya. Pelumba pasukan Champion System Pro Cycling yang mendahului beliau ialah dua pelumba dari Amerika Syarikat, Chad Beyer (ke-11) dan Chris Butler (31).

"Saya yakin strategi yang sama juga akan digunakan pasukan untuk mendaki Genting Highlands nanti. Kami lebih tumpukan kepada kategori berpasukan berbanding secara individu," katanya.

Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin dan Md Rauf Nur Misbah daripada pasukan kebangsaan, menjadi antara pelumba negara yang tiba awal di Cameron Highlands.

Mohd Shahrul dan Md Rauf masing-masing menamatkan saingan pendakian mereka ditempat ke-46 dan 47.

"Perlumbaan hari ini memang sangat laju terutama apabila ada pelumba yang membuat pemecahan awal. Saya juga cuba untuk mengejar kelompok hadapan tetapi gagal," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain