suria

12 Pasukan Elit Tempatan Bersaing Dalam Liga Super KRM 2013

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 pasukan elit tempatan akan bersaing pada Kejohanan Liga Super Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) 2013 dari 23 Feb hingga 28 April, kata Presiden KRM Datuk Amiruddin Embi.

Beliau berkata sembilan pasukan terbaik pada kejohanan tahun lepas layak beraksi secara automatik pada kejohanan tahun ini, manakala baki tiga slot terakhir diisi oleh tiga pasukan teratas yang bersaing pada Kejohanan Antara Kelab Kebangsaan (NICC), awal bulan lepas.

Tiga kelab berkenaan ialah UPM Serdang Angels, NS Wanderers (Negeri Sembilan) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

"Sepatutnya kejohanan ini disertai 13 pasukan tetapi Sandakan Eagles dari Sabah tidak dapat menyertai liga pada tahun ini kerana masalah kewangan.

"Bagaimanapun mereka akan mempertahankan kejuaraan Piala Super KRM yang dijadual berlangsung pada Mei ini," katanya pada sidang media mengenai kejohanan itu di Majlis Olimpik Malaysia (MOM.

Beliau berkata anggota majlis dan gabungan KRM turut bersetuju membuka ruang kepada penyertaan lebih ramai pemain asing dalam liga berkenaan pada tahun ini, dalam usaha mempromosi sukan ragbi di semua peringkat.

"Kejohanan ini juga medan terbaik kepada pemain kebangsaan mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Asia Lima Negara Divisyen Dua yang akan diadakan awal Jun ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya," katanya.

Amiruddin berkata setiap pasukan dibenar mendaftarkan sehingga empat pemain asing berdasarkan dua kategori yang ditetapkan iaitu 'expatriate' - warga asing yang bermastautin atau bekerja di negara ini dan 'import' iaitu pemain luar yang dibawa masuk oleh kelab.

Sementara itu, ketua jurulatih Cobra, Mohd Romli Saad menyasarkan pasukan berkenaan mampu mempertahankan kejuaraan tersebut.

"Saya melihat persaingan tahun ini lebih terbuka dengan kemasukan beberapa pasukan baharu namun saya meletakkan harapan kepada adunan barisan pemain junior dan senior dalam skuad kita untuk meraih kejuaraan," katanya.

Bekas jurulatih Sukma Kedah 2006 itu berkata selain menggunakan khidmat empat pemain kebangsaan, mereka turut akan diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import dari Fiji.-BERNAMA

Artikel Lain