suria

United Dilaporkan Bersedia Tawar Nani Kontrak Baru Selepas Prestasi Memberangsangkan

Nani mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Reading pada aksi Piala FA, Isnin lalu.
Nani mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Reading pada aksi Piala FA, Isnin lalu.
Nani mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Reading pada aksi Piala FA, Isnin lalu.

MANCHESTER UNITED kini dilaporkan telah bersedia untuk menawarkan pemain sayap mereka dari Portugal, Nani kontrak baru dengan syarat dia menerima realiti bahawa persaingan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama bukanlah automatik.

United perlu membuat keputusan segera mengenai masa depan Nani, yang dibeli dari Sporting Lisbon pada harga £17 juta pada tahun 2007, kerana menjelang tahun depan, pemain itu akan menjadi ejen bebas.

Jika ini berlaku United akan menanggung kerugian besar kerana tidak akan memperolehi sebarang bayaran perpindahan sekiranya Nani berhasrat meninggalkan kelab itu dan menyertai kelab lain.

Oleh yang demikian, sekiranya United hendak memperolehi keuntungan daripada nilai semasa Nani, mereka hendaklah menjual pemain itu sebelum kontraknya tamat.

Nilai semasa pemain itu lima bulan yang lalu ialah pada harga £25 juta.

Ketika itu United telah bersedia untuk melepaskan Nani kepada kelab Rusia, Zenit St Petersburg tetapi terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir setelah gagal mencapai persetujuan pada harga perpindahan.

Pilihan kedua ialah dengan menawarkan kontrak baru kepada Nani. Di situlah kedua-dua belah pihak buntu kerana Nani menuntut kenaikan gaji sebanyak £130,000 seminggu.

United dikatakan tidak bersedia menawarkan jumlah itu kepadanya.

Bagaimanapun pretasi tinggi yang ditunjukkannya pada perlawanan Piala FA Isnin lalu menentang Reading yang menyaksikan Nani menjaringkan gol pertama dan membuka laluan kepada gol kedua telah membuka jalan rundingan untuk mengekalkannya di kelab tersebut.

Pengurus United, Sir Alex Ferguson telah memberikan respon yang positif dengan berkata; "Sudah tentu kami mahu mengekalkannya di kelab ini, dia adalah pemain yang memiliki kemampuan untuk menentukan kemenangan pasukan."

"Cuba masalahnya, Nani mahukan jaminan yang dia akan menjadi pilihan dalam kesebelasan utama. Tetapi sebenarnya, dia tidak memerlukan jaminan tersebut kerana prestasi dia sendiri yang akan menentukannya," tegas Ferguson.

Namun begitu, persaingan untuk merebut tempat pada bahagian sayap akan menjadi bertambah sengit menjelang ketibaan pemain muda baru Wilfried Zaha musim depan, yang dibeli pada harga £15 juta dari Crystal Palace.

Apatah lagi pada masa yang sama, Antonio Valencia dan juga pemain England, Ashley Young turut memperkukuhkan kedudukan dan reputasi mereka sebagai pilihan utama pada bahagian sayap.

Ini belum diambil kira prestasi yang masih tinggi yang ditunjukkan oleh pemain lama seperti Ryan Giggs walaupun eranya sudah menghampiri penghujung.

Artikel Sebelum

Wang Kuasai Peringkat Ketiga LTdL

Artikel Berikut

Artikel Lain