suria

FAM Nafi Lambat Selesai Isu Pergaduhan Pemain Selangor Dan ATM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sengaja mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lepas.

Menurut kenyataan FAM pada Selasa, badan itu perlu mengambil masa mendapatkan rakaman video selepas perlawanan itu daripada sumber lain kerana video yang dihantar Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta laporan daripada pengadil perlawanan hanya melibatkan aksi perlawanan sebenar dan tiada rakaman insiden di luar padang.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan FAM 'pilih kasih' dalam menyelesaikan isu berkenaan dan turut menyatakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Setiausaha Agung FAS telah campur tangan bagi menyelesaikan isu itu di luar pengetahuan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Kenyataan FAM itu turut menjelaskan bahawa pihak sekretariat telah meneliti laporan yang dibuat 'match commissioner' (wakil FAM dalam perlawanan itu) yang dengan jelas menyebut supaya rujukan lanjut hendaklah dibuat melalui rakaman video.

FAM juga ada menerima laporan daripada pengadil dan penolong pengadil tetapi tidak menyebut mengenai insiden itu kerana pegawai berkenaan telah pun meninggalkan padang sebelum kejadian berlaku.

"Oleh demikian, sekretariat (FAM) sedang berusaha mendapatkan rakaman daripada sumber lain iaitu daripada stesen televisyen lain dan ini mestilah mengambil masa," menurut kenyataan itu.

Menurut FAM, setelah rakaman tersebut diperoleh, ia akan dibentang kepada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib untuk proses perbincangan dan penelitian klip video itu di kalangan ahli jawatankuasa berkenaan sebelum pertuduhan dibuat.

"Ini bertujuan supaya FAM tidak membuat pertuduhan yang salah atau tidak tepat. Jika tiada klip video tersebut, kes ini akan juga dirujuk kepada mesyuarat jawatankuasa tatatertib (yang akan bersidang) pada esok untuk diteliti sebelum pertuduhan dibuat," menurut kenyataan itu.

FAM juga menjelaskan bahawa insiden pergaduhan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib di mana jawatankuasa FAM yang lain seperti JKPT tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan yang akan, sedang atau sudah diambil oleh jawatankuasa itu.

Ini selaras dengan kedudukan jawatankuasa tersebut sebagai badan bebas di bawah Statut FAM.

Kenyataan itu juga menyebut pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan semasa perlawanan boleh dibuat dalam masa dua tahun dari tarikh kejadian iaitu mengikut Perkara 6.1.1 Kod Tatatetib FAM yang selaras dengan Artikel 42.1 Kod Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Artikel 42.1 Kod Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)(2011).

"Bagaimanapun FAM tidak pernah mengambil masa sehingga dua tahun untuk membuat pendakwaan," kata kenyataan itu.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang Selangor Mohd Afiq Azmi dikatakan ditumbuk oleh pemain ATM selepas beliau melakukan provokasi melampau ke atas pemain lawan selepas pasukan Gergasi Merah menang 3-2 menerusi sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 2-2 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan. - BERNAMA

Artikel Lain