suria

Federer Jumpa Nicol, Sokong Skuasy Dibawa Ke Olimpik

ROTTERDAM (Belanda): Selepas bertemu dengan jaguh skuasy No. 1 dunia, Datuk Nicol David, bintang tenis Switzerland, Roger Federer menyatakan sokongan sukan skuasy disenaraikan sebagai acara dalam Sukan Olimpik 2020.

Federer, bekas pemain No. 1 dunia dengan 17 kejuaraan Grand Slam, bertemu Nicol pada Kejohanan Tenis Dunia di Rotterdam.

Sokongan Federer disuarakan beberapa hari selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan akan mengeluarkan sukan gusti daripada Olimpik, satu keputusan yang bakal mencetuskan kontroversi.

“"Saya mula bermain skuasy dengan menggunakan raket kayu. Ia sukan menakjubkan. Saya rasa skuasy sepatutnya berada dalam Sukan Olimpik dengan adanya penganjuran jelajah yang hebat, malah memiliki ramai personaliti hebat.

“"Secara peribadi, saya amat gembira melihat perkembangan skuasy kerana saya selalu bermain sukan ini bersama bapa saya setiap hujung minggu," kata Federer selepas kalah kepada pemain Perancis, Julien Benneteau pada suku akhir di Rotterdam.

Nicol, 29, juara dunia enam kali menjadikan Amsterdam sebagai pangkalan latihan sejak beberapa tahun lalu. Bintang Malaysia itu merupakan orang kuat di sebalik usaha membawa masuk skuasy dalam senarai pendek acara Olimpik.

“Mengapa saya rasa skuasy berhak mendapat peluang? Sukan ini dimainkan di setiap ceruk di seluruh dunia.

“Menjadi sangat penting buat kempen kami apabila mendapat sokongan Roger Federer. Ia umpama mimpi menjadi nyata buat skuasy.

“Dia sangat menyukai permainan ini dan selalu bermain skuasy, jadi dia mahu melihat satu lagi sukan raket menjadi sebahagian daripada Olimpik.

“Roger sanggup meluangkan masanya untuk menyokong penawaran kami dan usaha yang ditunjukkan itu adalah bonus kepada skuasy, saya harap sokongan yang diberikan oleh personaliti hebat sepertinya mampu memberi impak kepada kami," kata Nicol. - AFP

Artikel Lain